Siakap Keli
Gambar Via Jawapos/CNN Indonesia

Penduduk Jawa Timur Diminta Bersedia Dengan Senario Terburuk Gempa Bumi, Berpotensi Dibadai Tsunami Setinggi 28 Meter – Kajian

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dilaporkan telah mengeluarkan amaran agar pihak berkuasa daerah dan masyarakat Kabupaten Pacitan, Jawa Timur bersiap sedia dengan senario terburuk gempa bumi dan tsunami setinggi 28 meter yang berpotensi melanda daerah itu dalam tempoh 29 minit.

Menurut Ketua BMKG, Dwikorita Karnawati, kesiapsiagaan dan waspada perlu diterapkan untuk menghindari dan mengurangkan risiko bencana yang bermula dari pesisir selatan Jawa akibat pergerakan plat tektonik di Indo-Australia dan Eurasia, lapor CNN Indonesia.

“Hasil penyelidikan, wilayah Pantai Pacitan memilik potensi tsunami setinggi 28 meter dengan anggaran waktu sekitar 29 minit.

“Ketinggian paras air di darat pula dijangka sekitar 15 hingga 16 meter dengan jarak empat hingga enam kilometer dari garis pantai,” katanya.

Amaran serupa juga telah dikeluarkan oleh Dwi pada bulan Julai lalu.

Dalam senario gempa dan tsunami yang dikatakan boleh terjadi dalam tempoh 29 minit, masyarakat dinasihatkan agar melakukan langkah-langkah pengosongan dan pergi ke kawasan atau dataran yang lebih tinggi jika merasakan goncangan gempa yang kuat.

“Untuk masyarakat yang berada di pantai, tidak perlu menunggu arahan, segera larikan diri kerana waktu yang ada hanya sekitar 29 minit sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, dia juga mendedahkan bahawa kawasan pesisir pantai Jatim juga berpotensi dilanda tsunami dengan tinggi 26 hingga 29 meter di Kabupaten Trenggalek dan waktu tibanya tsunami yang paling cepat adalah di Kabupaten Blitar iaitu dalam 20 hingga 24 minit.

Namun Dwi juga menegaskan bahawa hingga saat ini tidak ada teknologi atau satu negara pun di dunia ini yang boleh meramalkan bila terjadinya gempa dan tsunami secara tepat.

Semua masih terbatas pada kajian berdasarkan sejarah gempa bumi di sesuatu kawasan.

Sumber: CNN Indonesia

Sofea

There's always another side to every story