Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Maritim Malaysia Tahan Tiga Kru Warga Tempatan, Rampas 136 Set Bubu Naga

LUMUT, 29 Sept (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan tiga kru warga tempatan dan merampas 136 set bubu naga di kedudukan 2.0 batu nautika barat laut Pulau Talang, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata bot peronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Op Pintas, berjaya mengesan sebuah sampan gentian kaca tanpa nombor pendaftaran di lokasi berkenaan kira-kira pukul 4.40 pagi.

“Setelah anggota bot peronda bertindak merapat dan melakukan pemeriksaan, didapati sampan tersebut menggunakan bubu naga sebagai peralatan menangkap ikan.

“Seramai tiga kru warga tempatan berumur lingkungan 20 hingga 25 tahun telah ditahan bersama hasil tangkapan dianggarkan 10 kilogram (kg) juga telah dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua kru berkenaan kini ditahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)© Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story