Siakap Keli
Gambar Via Daily Mail

(Video) Pintu Terkunci Dari Dalam, Pegawai Polis Pertaruh Nyawa Selamatkan Budak Berpaut Di Balkoni Tingkat 11

Sebuah rakaman yang memaparkan detik-detik ketika seorang pegawai polis menyelamatkan kanak-kanak perempuan yang berpaut di balkoni apartmen menjadi tular di China sejak minggu lalu.

Menurut Daily Mail, kejadian yang berlaku di Yuhang, Hangzhou itu menunjukkan pegawai polis, Tang Wenjie, dengan berani membantu kanak-kanak itu walaupun berada di ketinggian yang sangat menggerunkan.

Menerusi video itu, Tang dilihat telah menggunakan tali keselamatan semasa menurunkan dirinya dan dengan cepat mengangkat kanak-kanak itu.

Difahamkan, ibu kanak-kanak itu telah keluar selama 15 minit untuk mengiringi anaknya yang lain ke sekolah sebelum dimaklumkan bahawa anaknya yang berusia empat tahun itu telah memanjat balkoni di rumahnya di tingkat 11.

Ketika dia kembali ke rumahnya, dia menyedari bahawa pintu telah terkunci dari dalam dan tidak dapat dibuka.

Bimbang mengambil masa yang terlalu lama untuk memecahkan pintu itu, pasukan penyelamat membuat keputusan untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dari tingkat atas. Setelah mendapat kebenaran dari penghuni di tingkat atas, Tang terus turun dan berjaya mengangkat kanak-kanak itu.

Pegawai polis yang lain dan penduduk di kawasan kediaman itu juga telah bersedia di bawah dengan meletakkan tilam.

Mereka bertepuk tangan setelah kanak-kanak itu berjaya diselamatkan tanpa ada sebarang kecederaan yang berlaku.

Sumber: Daily Mail

Sofea

There's always another side to every story