Siakap Keli

Gangguan Bekalan Air Berjadual Akan Berlaku 13 Oktober, Pengguna Di 998 Kawasan Selangor & KL Diminta Bersedia Simpan Air

Air Selangor hari ini memaklumkan gangguan bekalan air berjadual akan berlaku di 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor minggu hadapan.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook, gangguan bekalan air itu adalah disebabkan oleh pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Ia dijangka akan bermula pada jam 9.00 pagi, 13 Oktober dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9.00 malam, 16 Oktober.

Tambah kenyataan itu lagi, pelaksanaan kerja-kerja ini telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabka gangguan bekalan air tidak berjadual secara berskala besar.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan,” kata Air Selangor.

Pengguna yang terjejas dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Berikut merupakan senarai kawasan-kawasan di dalam wilayah yang terjejas.

Sumber: Air Selangor

Sofea

There's always another side to every story