Siakap Keli
Gambar: JAKIM

Kena Hati-hati, JAKIM Kongsikan Ciri Umum & Kaedah Kesan Bulu Khinzir Pada Produk

Khinzir adalah salah satu haiwan yang diharamkan dalam agama Islam. Hal ini kerana, haiwan tersebut merupakan salah satu medium penyebaran penyakit kepada manusia dan termasuk dalam golongan najis berat (mughallazah).

Pun begitu, terdapat pelbagai produk di pasaran yang menggunakan kulit dan bulu haiwan ini sebagai bahan. Antara produk kegunaan harian yang sering dikaitan dengan bulu khinzir ini termasuk berus cat, berus makeup dan berus gigi.

Memandang serius akan hal ini, Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui laman Facebook rasmi berkongsi info tentang bulu dan kulit khinzir, termasuk kaedah pengesanannya.

Sebelum itu, kenali beberapa ciri umum bulu khinzir yang mungkin terdapat pada sesetengah produk di pasaran. Antara ciri-ciri umum bulu khinzir adalah:

  • Keras (stout bristle hairs)
  • Bercabang pada bahagian hujungnya (flagged tips)
  • Rupa bentuk fizikal iaitu bercabang tiga
  • Kulit khinzir mempunyai 3 titik yang berlubang, di setiap lubang tersebut terdapat sehelai bulu yang keluar atau tumbuh. Salah satu bulu tersebut bercabang tiga pada bahagian hujungnya.

Berdasarkan analisis makmal yang umum, JAKIM turut berkongsi beberapa kaedah yang digunakan untuk mengesan kulit atau bulu khinzir. Antara kaedah makmal untuk mengesan kulit atau bulu khinzir termasuk:

  • Bahan tersebut dibakar, bau yang terhasil adalah seperti rambut terbakar
  • Menggunakan pelarut khas iaitu 5% sodium hydroxide. Sekiranya ia larut dalam pelarut itu, ia menunjukkan kehadiran ciri-ciri haiwan
  • Sampel boleh dilihat menggunakan mikroskop (Scanning Electron Microscope, SEM) sama ada lubang atau liang tembus atau tidak. Sekiranya sampel tersebut adalah haiwan, ia akan tembus sehingga ke dalam
  • Rentas lapisan kulit akan dilihat menggunakan mikroskop bagi menentukan jenis haiwan

Walaupun kulit dan bulu haiwan ini boleh dikesan melalui analisa makmal, umat Islam juga harus berhati-hati dalam memilih produk kegunaan harian. Jika berasa was-was dengan bahan sesuatu produk, sebaiknya pengguna beralih kepada produk lain yang lebih diyakini dan diiktiraf.

Sumber: Bahagian Hab Halal JAKIM

Eyla Azri