Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

Macam Dalam Filem Bollywood, Lelaki Aturkan Majlis Isteri Berkahwin Dengan Kekasih Hati

Bagaikan adegan di dalam filem Bollywood, seorang lelaki di India dilaporkan telah bersetuju membenarkan isterinya berkahwin dengan kekasih hati. Bahkan dia juga telah membantu mengaturkan majlis perkahwinan untuk isterinya, lapor Oddity Central.

Tindakannya itu bukan sahaja mengejutkan keluarga dan saudara mara tetapi juga telah menjadi tular di negara itu.

Difahamkan, lelaki yang tinggal di Uttar Pradesh itu telah menikahi isterinya pada bulan Mei tahun ini selepas diatur oleh keluarga mereka.

Bagaimanapun selepas lima bulan berkahwin, mereka masih belum melakukan hubungan suami isteri sekaligus menandakan bahawa perkahwinan mereka tidak ‘disempurnakan’. Malah, isterinya juga menjadi pendiam dan tidak bercakap dengan sesiapa.

“Dia tidak bercakap dan tidak ‘menyempurnakan’ perkahwinan kami. Selepas saya memujuknya, dia memberitahu bahawa dia sebenarnya ingin berkahwin dengan kekasih hatinya,” kata lelaki itu.

Apabila mendengar pengakuan isterinya, lelaki itu tidak marah malah dia telah memberitahu perkara tersebut kepada ibu mentuanya dan telah bertemu dengan keluarga kekasih isterinya untuk menyatukan mereka.

Dia juga telah melantik peguam untuk membantu melancarkan perkahwinan isterinya.

Kisah realiti itu seakan sama seperti filem popular Bollywood pada tahun 1999, Hum Dil De Chuke Sanam yang dibintangi oleh Salman Khan dan Aishwarya Rai.

Sumber: Oddity Central 

Sofea

There's always another side to every story