Siakap Keli
Gambar: Bernama

3.78 Juta Kenderaan Masih Belum Perbaharui LKM – JPJ

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) — Sebanyak 3.78 juta kenderaan di seluruh negara dikesan tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) hingga 16 Nov lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata pemilik LKM diberi tempoh hingga 31 Dis ini untuk memperbaharuinya.

Beliau berkata pemilik diingatkan tidak memperbaharui LKM di saat akhir bagi mengelak kesesakan di kaunter-kaunter cawangan JPJ yang turut dibuka pada hujung minggu hingga 31 Dis ini.

“Pengguna boleh datang ke mana-mana kaunter cawangan JPJ, senarai waktu boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi JPJ,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi di sini tengah malam tadi.

Aedy Fadly berkata LKM juga boleh diperbaharui secara dalam talian jika pemilik tidak mahu bersesak di kaunter JPJ.

“Buat masa sekarang, kami beri peluang untuk mereka perbaharui LKM dan selepas 31 Dis tiada lagi arahan daripada kerajaan untuk menyambung moratorium dan sebagainya.

“JPJ memang menjangkakan berlaku serbuan pada saat-saat akhir kerana situasi itu adalah perkara biasa yang berlaku setiap kali tarikh akhir sudah semakin dekat. Serbuan luar jangka oleh orang awam itu nanti bukan sahaja akan berlaku di pejabat JPJ malah ia juga berlaku di pejabat pos,” katanya.

Pada Sept lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata tempoh moratorium lanjutan pembaharuan LKM dilanjutkan hingga 31 Dis ini dan pemilik LKM yang telah tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah serta menunjukkan sijil perlindungan insurans bagi tujuan pemeriksaan.

Mengenai operasi bersepadu itu, Aedy Fadly berkata pihaknya memeriksa 3,210 kenderaan dan mengeluarkan 596 notis atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Tujuan operasi bersepadu diadakan adalah untuk mendidik dan menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta peraturan di bawah bidang kuasa agensi penguat kuasa,” katanya.

Sumber: BERNAMA

" "