Siakap Keli
Gambar: Bernama

IPT Disaran Sediakan Peluang, Hak Sama Rata Kepada Pelajar OKU – Ras Adiba

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) — Institusi pengajian tinggi (IPT) disaran menyediakan peluang dan hak sama rata kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) untuk mendapat akses pembelajaran serta menjalani kehidupan di kampus sama seperti pelajar lain.

Ahli Dewan Negara mewakili OKU Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata kecacatan yang dialami pelajar OKU tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka dinafikan hak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan bergelar graduan.

“Saya difahamkan ada rakan OKU tidak mahu menyatakan mereka OKU dalam borang permohonan kemasukan ke universiti kerana bimbang tidak akan diterima disebabkan kecacatan yang dialami malah permohonan untuk subjek bagi pelajar OKU juga dikatakan terhad.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana OKU juga mahu belajar seperti orang lain, jadi jangan diskriminasi atau meletakkan stigma terhadap pelajar OKU yang mempunyai hak sebagai Keluarga Malaysia dan rakyat Malaysia lain untuk belajar,” katanya dalam bual bicara Coffee Talk @OUM anjuran Open University Malaysia (OUM) hari ini.

Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral berkata IPT juga perlu menyediakan akses bersesuaian termasuk infrastruktur dan perkhidmatan yang diperlukan pelajar OKU dalam usaha menjaga kebajikan mereka.

Beliau berkata kemudahan yang dimaksudkan bukan sahaja melibatkan infrastruktur dan prasarana seperti bangunan dan kelas yang mesra OKU malah sistem sokongan bagi proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

Menurutnya sistem sokongan itu antaranya dalam bentuk kelonggaran atau fleksibiliti yang diberikan kepada pelajar OKU termasuk masa tambahan ketika menduduki peperiksaan dan menjalani peperiksaan di tempat berasingan disebabkan keperluan khusus.

“Sebab itu sering kali saya beritahu kepada OKU bahawa kekurangan yang ada bukan disebabkan kita sebaliknya sekililing kita melibatkan kemudahan dan sokongan yang tidak disediakan bagi memudahkan individu kurang upaya menjalani kehidupan normal mereka,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan di OUM, Dr Wong Huey Siew yang cacat penglihatan menyeru OKU mencari peluang menyambung pelajaran bagi meningkatkan nilai tambah kepada diri mereka sekali gus memperoleh masa depan yang cerah.

“Kini OKU tidak mempunyai halangan yang mencabar seperti dahulu untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna. Jadi untuk meningkatkan nilai tambah diri sendiri dan bersaing dengan orang lain, ambillah peluang yang ada sekarang untuk menyambung pelajaran.

“Berbanding dahulu, sekarang banyak peluang, carilah institusi yang bersesuaian kerana hanya kita sendiri yang mampu merubah kehidupan kita, jadi rebut peluang ini dan jangan duduk tanpa berbuat apa-apa akhirnya tidak dapat apa,” katanya.

Sumber: BERNAMA

" "