Siakap Keli
Kredit gambar: Sinar Harian

Keluarga Terkejut, Tedung Selar 5 Meter ‘Menyorok’ Dalam Longgokan Kotak Kasut Di Ruang Tamu

Sebuah keluarga di Kampung Guntong, Wakaf Lanas digemparkan dengan kehadiran seekor ular tedung selar sepanjang lima meter yang ditemui dalam longgokan kotak kasut di ruang tamu rumah mereka, lapor Sinar Harian.

Memetik laporan tersebut, kehadiran reptilia yang didakwa seberat 20 kilogram itu disedari pemilik rumah, Fareez Helmi Ibrahim, 31, pada Selasa selepas diberitahu anak saudaranya yang melihat kelibat ular tersebut dalam longgokan kotak kasut.

Mengulas lanjut, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat memetik Sinar Harian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 5.24 petang.

Jelas Nik Mohd Nor, lima anggota dikejarkan ke lokasi dan mereka mendapati ular berkenaan sedang menyorok di dalam timbunan kotak kasut di situ.

“APM mengambil masa selama 10 minit untuk menangkap ular tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, untuk rekod, APM Pasir Puteh telah menerima 77 kes terbabit berkait dengan kejadian ular masuk rumah sejak November hingga awal bulan ini.

“Antara jenis ular tersebut ialah tedung selar, tedung senduk, kapak dan ular sawa.

“Bagi mengelakkan haiwan berbisa ini memasuki kediaman, saya nasihatkan susun atur rumah diperkemas, teratur sebab haiwan ini suka tinggal di kawasan berselerak,” katanya memetik Sinar Harian.

Sumber: Sinar Harian

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'