Siakap Keli
Gambar via Facebook

Diziarah Ulama’ Dari Yaman Sebelum Meninggal Dunia, Kenali Allahyarham Tuan Guru Syeikh Yahya Ashaari

Semalam, salah seorang tokoh agama tanah air, Tuan Guru Syeikh Yahya Ashaari disahkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Sungai Jagung, Padang Pusing, Pendang.

Berita pemergian tokoh agama berusia 65 tahun itu sempat dikongsikan oleh pengguna Facebook Helmi Assyafie dan turut mengundang sebak warga net. Tak sedikit yang berasa kehilangan akan pemergian Allahyarham.

Allahyarham Tuan Guru Syeikh Yahya Ashaari merupakan seorang agamawan dan tenaga pengajar di Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) di Pokok Sena, Kedah. Allahyarham dikenali dengan sosok guru yang alim dan merendah diri.

Allahyarham dilahirkan di Campa pada 21 Januari 1956 dan mendapat pendidikan awal di Pondok Bermin dan Pondok Bendang Ramah di Patani. Allahyarham kemudiannya melanjutkan pengajian di Madrasah Darul Ulum, Madrasah Saulatiyah dan Universiti Ummul Qura.

Allahyarham Syeikh Yahya dikatakan pernah bermastautin di Mekah selama lebih 20 tahun sebelum menetap di Kampung Lubuk Reba, Pendang Kedah.

Semasa hidupnya, Allahyarham pernah terlibat dalam penulisan lima buah kitab iaitu Ta’liq Matan ArJurmiyah, Ta’liq Aqidatul Athfal, Ta’liq Matan Bina’, Ta’liq Almufid Matan Jauharah Tauhid dan Al-Aurad Alma’surah (susunan zikir dan wirid).

Malah sebelum insiden meragut nyawa itu berlaku, Allahyarham Syeikh Yahya dikatakan sempat diziarah beberapa orang ulama dari Yaman untuk berbincang tentang ilmu. Allahyarham kemudian dilaporkan terlibat kemalangan sejam kemudian.

Menurut hantaran di laman Facebook Helmi Assyafie, sebelum tetamu dari Yaman itu pulang, mereka sempat berkata akan bertemu Allahyarham lagi. Allahyarham Syeikh Yahya dikatakan membalas “InsyaAllah jumpa di syurga nanti.”

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.

Sumber: Sinar Harian, Wikipedia, Helmi Assyafie

Eyla Azri