Siakap Keli

Membiasakan Perbincangan Mengenai Hak Kesihatan Seksual Dan Reproduktif Perempuan

Petaling Jaya, 6 Januari 2022 – Isu pencabulan Hak Kesihatan Seksual dan Reproduktif  (SRHR) yang semakin berleluasa dalam institusi kekeluargaan dan pendidikan pada tahun-tahun  sebelum ini menunjukkan betapa pentingnya pendidikan seksualiti komprehensif diberikan  kepada rakyat Malaysia, khususnya kaum perempuan. Menyedari bahawa isu ini kian meruncing, 

Sisters in Islam (SIS) telah bekerjasama dengan Persatuan Hak Kesihatan Wanita (RRAAM) dan  Inisiatif Untuk Belia Kuala Lumpur (FYI KL) untuk menganjurkan webinar bertajuk ‘Sebelum  Bergelar Isteri: Apa Perempuan Perlu Tahu?’. Program ini bertujuan menggalakkan perbincangan  mengenai hak seorang isteri berkaitan hal ehwal hubungan seks dan hak kesihatan seksual dan  reproduktif perempuan.  

Pengarah Eksekutif Sisters in Islam, Rozana Isa berkata. “Secara amnya, perbincangan  mengenai pendidikan dan kesihatan seksual masih dianggap tabu di Malaysia, hal ini telah  menyebabkan kesedaran perempuan tentang hak peribadi mereka adalah terhad. Ketiadaan  pendidikan seksualiti komprehensif di Malaysia menekankan betapa perlunya perbincangan dan  tindakan susulan oleh semua pihak berhubung dengan topik hak kesihatan seksual dan  reproduktif termasuk agensi kerajaan, NGO dan pusat pengajian tinggi,” 

Selalunya, kesedaran tentang autonomi terhadap tubuh badan sendiri menjadi terhad kerana  halangan sosial dan budaya. Justeru, SIS mahu mencapai dua matlamat penting menerusi  webinar ini, iaitu memperkasa perempuan untuk membuat pilihan sendiri dalam soal penjagaan  dan kesihatan tubuh badan mereka dan memastikan semua pihak memainkan peranan masing masing untuk memperjuangkan hak kesihatan seksual dan reproduktif wanita.  

Banyak kejadian tidak diingini dapat dicegah atau dikurangkan jika perempuan boleh  mendapatkan maklumat lengkap tentang hak mereka dalam hubungan seks. Pendidikan seksualiti komprehensif akan membolehkan kaum wanita mengetahui apakah yang selamat dan  wajar bagi mereka dan cara untuk mengelakkan paksaan, kehamilan yang tidak dirancang,  penyakit kelamin, perkahwinan kanak-kanak, gangguan seks dan pelbagai masalah kesihatan  dan sosial lain.  

Menangkis tanggapan negatif tentang persoalan hubungan intim 

Pendidikan seksualiti komprehensif boleh menghalang isu yang lebih kritikal seperti pembuangan  bayi, penyakit kelamin dan gangguan seks, namun, institusi pendidikan dan politik negara masih  keberatan untuk mendidik kaum perempuan.  

Mendidik kumpulan masyarakat lebih luas  

SIS menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia  (KPM) agar melaksanakan dasar-dasar mengenai hak kesihatan seksual dan reproduktif yang  menyeluruh berasaskan bukti saintifik, demi keselamatan dan kebaikan perempuan di Malaysia.  Sokongan daripada pihak yang berkaitan seperti pertubuhan bukan kerajaan juga kritikal untuk  memperkasakan masyarakat berhubung isu ini.  

Rozana berkata, “Menerusi usaha yang bersepadu oleh pihak berwajib, ibu bapa, pendidik,  penggubal dasar dan masyarakat secara keseluruhannya mesti memulakan perbincangan  tentang topik ini. SIS percaya kita boleh memberikan maklumat lengkap tentang hak kesihatan  seksual dan reproduktif kepada perempuan dalam semua peringkat usia, termasuklah anak-anak  perempuan kita. Mereka ada hak dan patut tahu bila untuk menuntut hak tersebut. Apabila kita  memperkasakan seorang perempuan, kita memperkasakan seluruh negara. Walau  bagaimanapun, tanggungjawab untuk memperkasakan SRHR tidak seharusnya diletakkan di  atas bahu perempuan sahaja, kaum lelaki juga wajib melengkapkan diri mereka dengan  pengetahuan SRHR supaya wujud rasa hormat dan tanggungjawab terhadap diri sendiri, juga  kepada kaum perempuan secara keseluruhan. Justeru, subjek pendidikan seksualiti  komprehensif dengan kandungan dan pengisian yang menyeluruh wajib diperkenalkan dan  diterapkan di institusi pendidikan kita.

Sumber bantuan 

Bagi sesiapa yang sedang menghadapi masalah, isu atau mempunyai apa-apa soalan mengenai  kesihatan seksual dan reproduktif, anda boleh menghubungi talian berikut: Talian Bantuan RRAAM menerusi WhatsApp: +60183687950 ([email protected]), Isnin hingga Ahad,  10pg hingga 5ptg atau Talian Bantuan FRHAM: 03-5633 7514, Isnin hingga Jumaat, 8 pg hingga  5 ptg ([email protected] / [email protected]). 

Untuk maklumat lanjut tentang hak kesihatan seksual dan reproduktif, sila tonton webinar SIS  bertajuk, ‘Sebelum Bergelar Isteri: Apa Perempuan Perlu Tahu?’, di akaun Facebook rasmi  Sisters in Islam: https://fb.watch/9NFL0JgirI/ 

MENGENAI Sisters in Islam (SIS) 

Sisters in Islam adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bertekad untuk  memperjuangkan hak wanita Muslim di Malaysia dalam rangka Islam serta berlandaskan prinsip  hak asasi manusia universal, jaminan perlembagaan dan juga hakikat hidup dan pengalaman  wanita.

Siti Fatimah