Siakap Keli
Kredit : Hello Doktor

Berat Naik Secara Tiba-tiba? Ketahui 7 Sebab Yang Berkemungkinan Berat Badan Naik Mendadak

Pengambilan diet sihat menjadi trend terkini dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi semasa musim pandemik lalu. Ada yang berjaya menurunkan berat badan dan mendapatkan berat badan ideal seperti yang diidamkan.

Walau bagaimanapun, terdapat juga segolongan individu mengalami kenaikan berat badan secara tiba-tiba. Sudah bermacam-macam cara dibuat, namun berat masih naik tanpa sebab. Haira betul ni!

Ramai yang beranggapan bahawa berkemungkinan seseorang itu banyak makan dan kurang bersenam. Tetapi, tahukah anda sebenarnya sebab berat badan naik mungkin juga disebabkan oleh penyakit tertentu?

Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, mari kita baca perkongsian di bawah.

7 penyakit serta kondisi yang boleh jadi sebab berat badan naik

1. Masalah tiroid

Masalah tiroid yang tidak aktif atau hipotiroidisme merupakan satu penyakit yang berlaku apabila kelenjar tiroid tidak menghasilkan hormon yang mencukupi.

Hormon tiroid memainkan peranan yang amat penting dalam mengawal metabolisme badan.

Apabila hormon yang dirembeskan tidak mencukupi, metabolisme badan akan menjadi perlahan.

Oleh sebab itu, pesakit akan mula mengalami simptom-simptom hipotiroidisme seperti suhu badan yang rendah, anemia, kegagalan jantung dan sering rasa keliru.

Hipotiroidisme juga boleh menyebabkan pesakit koma. Malah, masalah tiroid yang serius juga boleh membawa maut.

Pada masa yang sama, sistem metabolisme badan yang perlahan juga boleh menyebabkan peningkatan berat badan. Jadi, tidak hairanlah jika pesakit mengalami peningkatan berat badan yang mendadak.

Masalah tiroid merupakan satu kondisi yang boleh dirawat. Ia boleh dikawal dengan ubat-ubatan serta pemeriksaan berkala dengan doktor.

2. Pengambilan ubat kencing manis mungkin sebab berat badan naik

Kredit : Hello Doktor

Ramai pesakit diabetes mempunyai masalah untuk mengekalkan berat badan masing-masing ketika mengambil insulin.

Manakan tidak, peningkatan berat badan sebenarnya merupakan salah satu kesan sampingan pengambilan ubat kencing manis.

Malah, individu yang sudah lama menghidap diabetes sudah terbiasa mengambil lebih banyak kalori setiap hari untuk mengelakkan tahap gula dalam darah menurun.

Sebab itulah, pesakit diabetes yang mengambil insulin mudah mengalami peningkatan berat badan.

3. Sebab berat badan naik kerana peningkatan usia

Apabila kita semakin berusia, kita akan mula kehilangan banyak jisim otot. Selalunya, keadaan ini berlaku kerana kita tidak lagi aktif bergerak dan kurang bersenam.

Otot manusia dapat membakar kalori dengan sangat efektif. Oleh sebab itu, kehilangan jisim otot akan membuatkan badan kita membakar kalori dalam jumlah yang lebih sedikit.

Tambah lagi, jika kita makan dan minum seperti biasa, berat badan kita akan mulai bertambah.

Untuk mengelakkan masalah ini, kita perlulah kekal aktif dan lakukan senaman khas yang boleh menguatkan otot.

4. Sedang mengambil ubat steroid

Steroid, yang turut dikenali sebagai kortikosteroid digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit, termasuklah asma dan arthritis.

Penggunaan kortikosteroid dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan selera makan dan menjadi sebab berat badan naik.

Semakin tinggi dos yang diambil, semakin banyaklah peningkatan berat badan pesakit.

Manakan tidak, pengambilan steroid akan menyebabkan rasa lapar kerana kortikosteroid mempengaruhi bahagian otak yang mengawal selera makan dan juga rasa lapar.

Oleh sebab itu, individu yang mengambil kortikosteroid perlu lebih berhati-hati dalam pemakanan.

Selain itu, jangan berhenti mengambil ubat separuh jalan kerana masalah berat badan naik.

Tindakan ini mungkin akan menimbulkan masalah pada masa hadapan. Berbincanglah dengan doktor sebelum melakukan apa-apa keputusan.

5. Kenaikan berat badan disebabkan sindrom Cushing

Kredit : Hello Doktor

Sindrom Cushing merupakan satu kondisi yang amat jarang berlaku. Penyakit ini hanya terjadi pada 1 dalam 50,000 orang dan berlaku disebabkan hormon kortisol yang tinggi.

Sindrom ini berpunca disebabkan rawatan steroid jangka panjang atau kerana pembentukan tumor.

Peningkatan berat badan merupakan simptom lazim Sindrom Cushing.

Malah, pesakit sindrom ini juga sering mengalami penambahan berat badan pada kawasan dada, muka dan juga perut.

Bergantung pada puncanya, rawatan untuk sindrom ini sama ada menghentikan penggunaan steroid atau melakukan pembedahan untuk membuang tumor.

Sebab berat badan naik #6. Tekanan perasaan dan mood yang tidak baik

Setiap orang mempunyai respons yang tersendiri terhadap stres, keresahan dan juga depresi.

Ada orang yang akan hilang berat badan dan ada juga yang akan mengalami penambahan berat badan.

Walau bagaimanapun, peningkatan berat badan disebabkan depresi boleh mendatangkan bahaya yang lebih besar. Ia boleh membuatkan pesakit terjerumus ke dalam kitaran depresi yang teruk.

Manakan tidak, penambahan berat badan yang berlaku ketika seseorang itu menghidap depresi boleh menyebabkan individu itu semakin tertekan dengan imej diri.

Jika suka makan mengikut emosi, anda perlu mencari alternatif lain untuk mengawal masalah ini.

Sebagai contoh, cari aktiviti lain yang boleh mengalih perhatian anda seperti keluar dengan kawan, mandi lama-lama atau berjalan di pusat membeli belah.

7. Rasa penat dan letih

Kredit : Hello Doktor

Kajian menunjukkan, orang yang tidur kurang 7 jam sehari lebih berisiko untuk mengalami kenaikan berat badan berbanding mereka yang tidur 9 jam atau lebih.

Puncanya masih belum diketahui, namun orang yang tidak cukup tidur selalunya mempunyai tahap leptin yang rendah. Leptin merupakan sejenis bahan kimia atau hormon yang menyebabkan kita rasa kenyang.

Pada masa yang sama, mereka juga mempunyai tahap ghrelin yang tinggi. Hormon ghrelin pula bertindak membuatkan kita rasa lapar.

Jika anda sering penat dan selalu mengambil makanan yang tinggi kalori untuk kekal aktif sepanjang hari, berat badan akan naik secara mendadak, lebih-lebih lagi jika anda jarang bersenam.

Oleh sebab itu, pastikan anda tidur dengan mencukupi.

Kurang tidur bukan sahaja boleh menjadi sebab berat badan naik, ia juga boleh menyebabkan masalah lain seperti stres, kegelisahan dan juga depresi jika tidak dibendung.

Sumber : Hello Doktor

 

Fathin Nadzira