Siakap Keli
Gambar: via Google

Desas-desus Perang Besar Bakal Tercetus, Ini Kronologi Krisis Russia – Ukraine

Keadaan di Ukraine dilihat semakin tegang apabila hampir-hampir 100,000 tentera negara jiran mereka iaitu Rusia sudah berada di sempadan negara itu.

Pun begitu Rusia dilihat masih menafikan sebarang rancangan untuk menyerang Ukraine walaupun sudah terbukti bahawa tentera mereka sudah berada di sempadan Ukraine.

Bagi mereka yang baru sahaja mendengar mengenai krisis ini, sudah pasti anda tertanya-tanya bagaimana krisis ini boleh terbentuk.  Adakah ia baru sahaja bermula atau sudah ada titik permulaannya sejak dahulu lagi.

Merungkai persoalan-persoalan itu, Al-Jazeera ada berkongsikan mengenai kronologi di antara Ukraine-Russia ini.

Menurut Al-Jazeera, kemelut Ukraine-Russia sudah berlarutan selama dua bulan. Kemelut ini dikatakan bermula apabila Russia mengambil alih Crimea daripada Ukraine pada tahun 2014.

Kronologi Krisis Ukraine-Russia

Februari 2014

Bermulanya protes antikerajaan yang dilihat semakin memuncak di Ukraine. Hal ini sekaligus mencetuskan revolusi batas di wilayah Donbas. Russia kemudiannya bertindak menyerang dan menggabungkan Crimea di bawah mereka pada Februari-Mac 2014.

Akhirnya pada September 2014, satu perjanjian Minsk termenterai dan ditandatangani di Belarus. Perjanjian itu meminta untuk melaksanakan gencatan senjata (berdamai). Tetapi selepas beberapa hari perjanjian itu dilaksanakan, ia dilihat tidak memberikan apa-apa kesan.

Februari 2015

Setahun selepas itu, satu lagi Perjanjian Minsk baharu ditandatangani dengan perintah untuk melaksanakan gencatan senjata lagi yang dipantau oleh OSCE (Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah).

Perjanjian ini mengarahkan kedua-dua belah pihak untuk meletakkan senjata.

Jun 2017

Bermula pada Jun 2017 parlimen di Ukraine menyatakan niat untuk menyertai NATO iaitu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (North AtlanticTreaty Organization) semula.

September 2020

Presiden Ukraine pada masa itu, Volodymyr Zelenskyy meluluskan strategi keselamatan untuk menjadi rakan kongsi NATO.

March 2021

Tentera Russia dipercayai mula berkumpul di sempadan Ukraine.

Julai 2021

Vladimir Putin yang merupakan presiden Russia menerbitkan artikel “Mengenai Perpaduan Sejarah Ukraine & Russia”.

Menerusi artikel itu, beliau menceritakan hubungan sejarah di antara Ukraine, Russia dan Belarus.

Pada penghujung 2021, tentera Russia mula berkumpul. Bermula daripada situ, tentera-tentera di Russia dikatakakan mula berkumpul di sempadan Ukraine.

November 2021

Memetik laporan Aljazeera, terdapat imej satelit yang memperlihatkan terdapatnya kem atau perkumpulan tentera yang berada berdekatan sempadan antara Russia.

Malah dikhabarkan hampir-hampir 100,000 tentera berada di sana bersama-sama kereta kebal dan peralatan keperluan ketenteraan yang lain.

7 Disember 2021

Presiden Amerika Syarikat (AS), iaitu Joe Biden mula memberi amaran kepada Russia tentang kemerosotan ekonomi barat sekiranya Ukraine diserang.

17 Disember 2021

Dua minggu selepas itu Russia mengemukakan tuntutan keselamatan terperinci kepada Barat, termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk menghentikan semua aktiviti ketenteraan di Eropah timur dan Ukraine.

Ukraine mendakwa bahawa pakatan itu tidak menerima Ukraine atau negara bekas Soviet yang lain sebagai ahli.

3 Januari 2022

Biden mula memberi jaminan kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky bahawa AS akan “bertindak balas dengan tegas” sekiranya Ukraine diserang Rusia.

Perbualan mereka dilaporkan dibuat menerusi perbualan telefon.

10 Januari 2022

Pegawai AS dan Russia bertemu di Geneva bagi mengadakan rundingan diplomatik. Rundingan tersebut dikhabarkan gagal.

Dimaklumkan bahawa kemelut antara Ukraine dan Russia masih tidak dapat ditamatkan kerana pihak Russia masih mengulangi tuntutan keselamatan daripada Washington (AS) yang mana disifatkan tidak boleh diterima.

24 Januari 2022

NATO mengarahkan pasukan ketenteraannya di kawasan Timur Eropah untuk bersiap dengan lebih banyak kapal perang dan jet pejuang. Beberapa negara barat mula meminta kesemua kakitangan di kedutaan negara masing-masing untuk meninggalkan Kyiv iaitu ibu negara Ukraine.

Pihak AS telah mempersiapkan sejumlah 8,500 orang tentera untuk sebagai langkah berjaga-jaga.

26 Januari 2022

Pihak Washington, AS memberikan jawapan bertulis kepada tuntutan keselamatan Russia dengan menegaskan bahawa NATO komited dengan dasar ‘buka pintu’ selain menawarkan penilaian berprinsip terhadap kebimbangan Rusia.

27 Januari 2022

Biden memberikan amaran tentang kemungkinan pencerobohan Russia pada bulan Februari.

China meletakkan kepentingan politiknya di belakang Russia dan memberitahu AS bahawa “kebimbangan keselamatan yang sah” Moscow harus “diambil serius”.

28 Januari 2022

Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata tuntutan keselamatan utama Russia belum ditangani tetapi Moscow mula bersedia untuk meneruskan rundingan.

Dalam pada itu, Presiden Ukraine Zelenkskyy mengeluarkan amaran kepada barat supaya tidak mencetuskan situasi “panik” yang akan menjejaskan ekonomi negaranya secara negatif.

31 Januari 2022

AS dan Rusia berdebat mengenai krisis Ukraine pada sesi tertutup khas Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).

Malah duta Besar AS yang menyertai perdebatan itu, Linda Thomas-Greenfield turut menegaskan bahawa pencerobohan Russia ke atas Ukraine itu akan mengancam keselamatan secara global.

1 Februari 2022

Putin mula menafikan perancangan pencerobohan dan menuduh AS mengabaikan tuntutan keselamatan negaranya.

“Sudah jelas bahawa kebimbangan asas Russia akhirnya telah diabaikan,” tegas Presiden Ukraine.

6 Februari 2022

Pada 6 Februari 2022, media di AS melaporkan bahawa Russia telah mempersiapkan hampir-hampir 70 peratus kekuatan tenteranya dalam usaha untuk menyerang Ukraine, lapor pegawai Amerika yang dipetik tanpa nama dalam salah satu media di AS menerusi Aljazeera.

8 Februari 2022

Presiden Perancis, Emmanuel Macron bertemu Putin untuk mengadakan beberapa rundingan di Moscow dan memberitahu wartawan bahawa Russia tidak akan meningkatkan krisis Ukraine.

Bagaimanapun, jurucakap Russia menafikan bahawa Macron dan Putin mencapai kesepakatan untuk mengurangkan krisis tersebut.

“Moscow dan Paris tidak akan mencapai sebarang perjanjian,” jelas jurucakap Russia.

10 Februari 2022

Menurut setiausaha luar UK, Liz Truss dan FM Rusia Sergey Lavrov, perbincangan itu seolah-olah “perbualan antara orang bisu dan orang pekak”.

11 Februari 2022

Penasihat keselamatan AS, Jake Sullivan, berkata perisikan AS menunjukkan pencerobohan Russia terhadap Ukraine boleh bermula dalam beberapa hari, dijangkakan sebelum Sukan Olimpik Beijing berakhir pada 20 Februari.

Pentagon turut mengarahkan tambahan 3,000 tentera AS untuk dihantar ke Poland bagi meyakinkan sekutu. Sementara itu, beberapa negara menyeru rakyat mereka untuk meninggalkan Ukraine.

12 Februari 2022

Biden dan Putin mengadakan perbincangan melalui sidang video. Presiden AS itu berkata pencerobohan Russia ke atas Ukraine akan menyebabkan “penderitaan manusia yang meluas” dan bahawa Barat komited terhadap diplomasi untuk menamatkan krisis tetapi mereka tetap mempunyai pemikiran untuk “sama-sama bersedia untuk senario lain”.

Putin mengadu dalam gesaan bahawa AS dan NATO tidak menjawab dengan memuaskan tuntutan Russia supaya Ukraine dilarang menyertai pakatan tentera dan NATO menarik balik pasukan dari Eropah Timur.

Malah pembantu dasar luar negeri Putin, Yuri Ushakov mengatakan bahawa semasa perbincangan Biden ada menyebut mengenai sekatan ke atas Russia. Tetapi hal itu tidak menjadi tumpuan semasa perbincangan yang agak panjang itu.

Sumber: Aljazeera

Nadhirah