Siakap Keli
Gambar: Twitter

TERKINI: Misi Menyelamat Haidar, Kanak-Kanak Terperangkap 2 Hari Dalam Perigi Di Afghanistan

Usaha kini sedang giat dilakukan bagi menyelamat seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang terperangkap sedalam 10 meter (33 kaki) di dalam perigi di wilayah Zabul, selatan Afghanistan.

BACA: Tergelincir Masa ‘Tolong’ Gali Perigi, Ini Kronologi Tragedi Pilu Yang Menimpa Haidar

Pasukan penyelamat yang dibantu dengan mesin jentolak beserta orang awam berkumpul di kawasan tersebut, selepas kanak-kanak yang dikenali sebagai Haidar itu dilaporkan terjatuh sejak Selasa lalu.

Gambar: Daily Mail

Setiausaha Timbalan Perdana Menteri Afghanistan, Abdullah Azzam, menerusi laman Twitter rasmi beliau memaklumkan Haidar tersangkut ke bawah batu dan usaha mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.

”Persis seperti Rayyan dari Maghribi, seorang kanak-kanak telah jatuh ke dalam perigi yang dalam dan tersangkut pada batu di wilayah Zabul Afghanistan.

”Dia setakat ini masih hidup dan batu itu cuba untuk dibelah bagi mengeluarkan mangsa. Mohon doakan,” tulis beliau.

BACA: (Video) “Cakap Dengan Ayah, Jangan Menangis,” Raungan Haidar Di Bawah Perigi Undang Pilu

Gambar: Twitter Abdullah Azzam
Gambar: Twitter Abdullah Azzam

Menurut beliau, bantuan oksigen, ambulans serta beberapa keperluan lain telah berada di tempat kejadian.

“Satu pasukan telah tiba di sana dengan ambulans, bantuan oksigen dan beberapa keperluan lain.

“Kanak-kanak itu dalam keadaan baik dan kadang kala meminta bantuan makanan dan minuman,” tulis Abdullah.

BACA: Proses Menyelamat Berdepan Kesukaran, Haidar Kelihatan Tapi Tak Boleh Ditarik Keluar

Kata Abdullah, lebih banyak usaha perlu dilakukan termasuk melakukan apa sahaja cara yang boleh bagi menyelamatkan mangsa.

Tambahnya, pelbagai pihak dari jabatan-jabatan tertinggi telah dihubungi dalam usaha mengeluarkan Haidar secepat mungkin.

Gambar: Daily Mail

Menerusi rakaman video menggunakan tali yang dimasukkan ke dalam perigi oleh pasukan penyelamat, Haidar dilihat menggerakkan tangan dan bahagian atas badannya.

Perigi tersebut dikatakan mempunyai kedalaman 24 meter (82 kaki) dan Haidar tersangkut pada batu di kedalaman 10 meter.

Berita lanjut menyusul

Sumber: Abdullah Azzam, Daily Mail UK

Eyla Azri