Siakap Keli

(Video) Detik-Detik Cemas Petani Diserang & Diheret Buaya Hingga Lemas

Seorang petani dilaporkan telah diserang seekor buaya ketika membersihkan dirinya di tepi terusan dalam kejadian yang berlaku pada Rabu lalu.

Memetik laporan Kompas.com, kejadian yang berlaku di Desa Bebatu, Kabupaten Tana Tidung, Kalimantan Utara itu menyaksikan petani berusia 40 tahun tersebut sedang memandu sebuah trak pikap bersama pembantunya sebelum berhenti rehat di tepi terusan itu.

Ketua Polis Daerah Sesayap Hilir, Iptu Jaimin berkata mereka membawa trak pikap yang sarat dengan 10 bongkah kayu.

“Dia selesai memunggah, kemudian berehat dan mengambil daun nipah dan seterusnya membersihkan dirinya di tepi terusan.

“Mangsa melihat papan tanda larangan di sekitar terusan itu yang memberi amaran bahawa di situ ada buaya, tetapi dia memberitahu ketika itu tiada buaya,” katanya.

Yakin tiada tanda-tanda kewujudan buaya, petani itu turun ke dalam terusan dengan perlahan-lahan, tetapi hanya beberapa saat kemudian seekor buaya muncul dan segera menyerangnya.

“Mangsa disambar buaya di kepala dan dibawa ke dalam terusan itu sebelum akhirnya lemas,” ujar Jaimin.

Ketika detik-detik cemas itu, salah seorang rakan mangsa telah merakam kejadian tersebut, bagaimanapun, telefon bimbit miliknya terjatuh dan dia hanya sempat merakam ekor buaya itu yang membawa mangsa ke dalam air.

Sementara itu, saksi berkata buaya itu mempunyai lebar badan kira-kira 60 sentimeter dan panjang kira-kira 400 sentimeter atau 4 meter.

“Ini kejadian kedua, saya minta ketua kampung memasang papan tanda amaran buaya di terusan itu sejak Disember 2021. Ketika itu juga pernah berlaku kejadian serupa di lokasi sama,” katanya.

Usaha mencari mangsa dilakukan melibatkan elemen SAR dan penduduk setempat. Malah, turut melibatkan pengendali buaya untuk mencari lokasi mangsa dengan pantas.

Sumber: Kompas.com

Sofea

There's always another side to every story