Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Tak Boleh Terima Kena ‘Reject’, Lelaki Nekad Simbah Larutan Asid Pada Muka Rakan

Seorang lelaki Turki didakwa menyiram rakannya dengan larutan asid semasa mangsa sedang tidur hingga menyebabkan mangsa buta dan melecur kerana menolak godaan romantiknya.

Tertuduh, 30, didakwa menyerang mangsa, 42, pada 5 Oktober 2021 ketika mangsa tidur di rumahnya di daerah Avcilar, Istanbul hingga menyebabkan mangsa terpaksa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mahkamah Turki difahamkan bahawa tertuduh telah merancang dengan rapi kejadian tersebut untuk menutup injap air rumah dan mengosongkan air daripada objek seperti jag dan bekas lain agar mangsa tidak dapat membasuh larutan asid itu dari mukanya.

Tertuduh dilaporkan telah memasuki rumah mangsa menggunakan kunci yang diberikan kepadanya dan menuang ramuan ‘beberapa cecair’ ke atas mangsanya ketika sedang tidur sekitar jam 3 pagi.

Sebelum ini, mereka pernah berkawan tetapi persahabatan mereka bertukar keruh selepas mangsa menolak tawaran suspek untuk melakukan hubungan intim.

Peguam Uzencelebi berkata, doktor menyifatkan kecederaan anak guamnya sebagai antara yang paling teruk pernah mereka lihat dan lima bulan kemudian, mangsa masih menggunakan bantuan hayat.

Pejabat Ketua Pendakwa Raya Kucukcekmece telah menggesa mahkamah agar menjatuhkan hukuman antara 13 dan 20 tahun kepada tertuduh atas pertuduhan ‘cubaan membunuh dengan prejudis’ berhubung serangan itu.

Perbicaraan terhadap kes tersebut masih lagi sedang berjalan.

Sumber: Daily Mail

Aireena Marizan