Siakap Keli

Lima Rakan Bot Pelakon Thailand Mati Lemas Diarah Jalani Ujian Pengesanan Penipuan

Berikutan kes kematian pelakon Thailand baru-baru ini, polis Nonthaburi bersedia untuk memanggil lima rakan pelakon mendiang, Nida “Tangmo” Patcharaveerapong, untuk disoal siasat dengan menggunakan ujian pengesan penipuan, lapor Thai PBS World.

Usaha yang dilakukan ini adalah untuk menghilangkan keraguan tentang perkara yang berlaku dalam kemalangan bot maut di Sungai Chao Phraya malam Khamis lalu.

Kata penguasa polis daerah Muang Nonthaburi kepada media Isnin lalu, polis perlu menyoal mereka dengan lebih lanjut walaupun sebelum ini sudah disoal siasat.

Menurut laporan, mayat Nida ditemui pada hari Sabtu kira-kira 300 meter dari Jeti Pibulsingkram di wilayah Nonthaburi.

Penguasa polis turut mengatakan bahawa pihaknya akan bertemu dengan ibu Nida untuk  menyerahkan bukti rantaian mesej yang berlaku antara beberapa rakan mangsa sejurus kejadian.

Katanya lagi, keterangan yang diberikan oleh kelima-lima rakan tersebut sepadan, tetapi kurang terperinci.

Walau bagaimanapun, perbincangan di media sosial menunjukkan netizen seolah-olah percaya bahawa mereka berlima termasuk pemilik bot masih belum memberitahu keseluruhannya kepada polis.

Sementara itu, klip video yang diambil daripada sistem CCTV menunjukkan kelima-lima rakan mangsa tiba di limbungan kapal kira-kira jam 1 pagi Jumaat, dua jam setengah selepas kejadian.

Menerusi laporan, tiada seorang pun daripada mereka berada di jeti tersebut semasa pekerja penyelamat tiba untuk memulakan pencarian.

Jelas penguasa polis, mereka masih menunggu laporan bedah siasat Nida dari Institut Perubatan Forensik di Hospital Besar Polis dan keputusan ujian toksikologi untuk kelima-lima rakannya.

Mahkamah wilayaj Nonthaburi didakwa telah mengeluarkan waran tangkap akibat kecuaian yang dilakukan oleh tekong dan seorang rakan yang mengemudikan bot.

Tanupat, pemilik bot berkenaan, turut berdepan pertudungan tambahan menggunakan bot tamat tempoh lesen dan  telah dibebaskan melalui ikat jamin.

Memetik laporan Bangkok Post, kesemua lima orang yang berkemungkinan akan menghadapi pertuduhan kecuaian yang membawa kepada kematian dan memberi kenyataan palsu kepada polis, menurut sumber polis.

Sumber : Thai PBS World, Bangkok Post

Fathin Nadzira