Siakap Keli
Gambar: NASA

Boleh Ke Tembus Atmosfera Bumi? Ini Fakta Anda Perlu Tahu Tentang Ribut Solar

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sebelum ini pakar-pakar meramalkan bahawa satu ribut solar ‘gergasi’ didakwa akan tercetus dan ‘menghampiri’ Bumi pada hari ini.

Malah, jangkaan itu adalah berdasarkan data dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) serta Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).

Bagi anda yang baru sahaja membaca mengenai ribut solar ini, sudah tentu anda berasa tidak biasa dan tertanya-tanya apakah ribut solar.

Mengapa dan bagaimana boleh tercetusnya isu mengenai ribut solar ini. Bagi merungkai persoalan tersebut, laman rasmi Ini Sains Beb ada berkongsikan dengan lebih lanjut mengenai ribut solar ini.

Lebih menarik lagi, apabila laman tersebut turut berkongsikan mengenai ribut solar bermula dengan latar belakang bagaimana tercetusnya aktiviti solar dan ketahanannya terhadap planet bumi.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh ikuti perkongsian di bawah.

Ini Pendedahan Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Ribut Solar

RIBUT SOLAR AKAN MENYEBABKAN MASALAH KESIHATAN?

Latar Belakang Aktiviti Solar

Aktiviti solar sebenarnya berlaku sepanjang tahun sejak terbentuknya matahari lebih kurang 4.6 bilion tahun yang lalu. Pergerakan cas-cas zarah ini akan mengaruhkan medan magnet matahari. Polariti ini berkait-rapat dengan aktiviti Sunspots tersebut.

Perubahan polariti cas yang positif dan negatif akan berlaku dalam satu kitaran sunspots yang mengambil masa lebih kurang setiap 11 tahun (kitaran lengkap adalah 22 tahun).

Aktiviti solar kini dalam fasa menaik setelah ‘tidur’ pada tahun 2020 dan dijangka akan memuncak pada tahun 2025. Setiap kali aktiviti kitaran yang berlaku, sunspots akan terbentuk pada latitude yang tinggi dan kemudiannya bergerak ke equator.

Perkembangan secara langsung aktiviti kitaran solar boleh didapati pada pautan berikut: https://www.swpc.noaa.gov/products/solar-cycle-progression

Cuaca angkasa lepas memang sangat ekstrim dan banyak dipengaruhi oleh aktiviti-aktiviti bintang seperti matahari. Cuaca angkasa lepas sentiasa dipantau oleh agensi-agensi angkasa lepas. Begitu juga dengan aktiviti matahari yang dipantau oleh Parker Solar Probe.

Ribut solar yang berlaku tak dapat menembusi atmosfera bumi kerana planet kita mempunyai medan magnetik yang melindungi keseluruhan planet. Apabila partikel-partikel solar ini menghampiri bumi, lapisan magnetosfera bumi akan menolak partikel-partikel ini keluar.

Ada segelintir yang akan dapat memasuki hingga lapisan ionosfera bumi lalu berlanggar dengan atom oksigen dan nitrogen lalu menghasilkan cahaya berwarna-warni yang dipanggil Aurora Borealis – ‘Northern Light’ (di kutub utara) dan Aurora Australis (di kutub selatan).

Partikel-partikel ini lebih mudah memasuki pada bahagian kutub bumi dan bentuknya pula bergantung kepada arah medan magnet bumi.

Pertahanan Planet

Di sini kita fahami bahawa Coronal Mass Ejections (CME) dan ribut solar tidak dapat menembusi ‘pertahanan’ planet kita hingga boleh menyebabkan masalah kesihatan, melainkan anda sedang melepak-lepak di luar kapal angkasa.

Kita adalah sebahagian daripada hidupan di planet ini yang sudah biasa hidup dengan kitaran solar ini.

Namun begitu, CME dan ribut solar boleh memberi kesan kepada teknologi yang kita gunakan, terutamanya peralatan elektronik. Apabila ribut solar terarah kepada bumi, ia akan mengakibatkan satu fenomena yang digelar ribut geomagnetik.

Ia boleh mengganggu sistem satelit, melumpuhkan sistem komunikasi, dan mengganggu sistem navigasi. Ia juga boleh menggugat grid elektrik dan pernah menyebabkan bekalan kuasa terputus di beberapa bandar sebelum ini.

Sungguhpun begitu, ada beberapa kertas kajian yang meneliti yang menunjukkan ada trend perkaitan temporal (masa) antara peningkatan degup jantung dengan aktiviti solar, tetapi kajian ini masih di peringkat awal dan perkaitan langsung (kausiliti) masih belum dibuktikan.

Ada juga kajian yang melihat kepada kolerasi ribut geomagnetik dengan kematian, namun ia juga hanya menunjukkan kolerasi temporal dan belum ada pembuktian yang mengaitkannya secara langsung.

Jadi kesimpulan di sini, walaupun ada perkaitan ditunjukkan, tetapi kita jangan kaget (terkejut) dan panik, bagaikan ia adalah satu perkara yang baharu. Selagi kita duduk di permukaan bumi, kita selamat dan terlindung dari bahaya ribut solar ini.

Namun begitu, nasihat untuk sentiasa minum air yang mencukupi dan berdoa bagi dihindarkan malapetaka adalah amalan yang seharusnya diamalkan terus menerus. Semoga bermanfaat.

#inisainsbeb #azarimy #DrHanafi

Nota: Nanti kami akan bincangkan tentang perbezaan antara korelasi temporal dengan kausaliti. Walaupun kami dah tulis mengenainya, tapi ia menyebabkan artikel ini jadi panjang dan menyimpang dari tujuannya yang sebenar.

Rujukan:

Alabdulgader A, McCraty R, Atkinson M, et al. Long-Term Study of Heart Rate Variability Responses to Changes in the Solar and Geomagnetic Environment. Sci Rep. 2018;8(1):2663. Published 2018 Feb 8. doi:10.1038/s41598-018-20932-x https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5805718/

Karttunen, H., Kroger, P., Oja, H., Poutanen, M., Donner, K.J. (2003). Fundamental Astronomy 5th Edition. Springer-Verlag: Berlin Heidelberg.

Morison, I. (2008). Introduction to Astronomy and Cosmology. John Wiley & Sons: UK.

BACA JUGA: (Video) Pakar Ramal Ribut Solar Gergasi Dijangka Hampiri Bumi Esok

Sumber: FB Ini Sains Beb

Nadhirah