Siakap Keli
Atlet Olimpik Jepun
Kredit: CNN

Macam Tengah Terbang, Atlet Ski Jepun Cipta Rekod Lompat Sejauh 291 Meter

Macam Tengah Terbang, Atlet Ski Jepun Cipta Rekod Dunia Lompat Sejauh 291 Meter

Atlet Olimpik Jepun, Ryoyu Kobayashi ‘berjaya’ memecahkan rekod dunia dalam lompat ski dengan catatan sejauh 291 meter di Akureyri, Iceland.

Menurut portal CNN, atlet berusia 27 tahun itu meluncur daripada tanjakan ski yang dicipta khas dan ‘terbang’ tinggi sekitar 955 kaki (291m) di udara.

Dia kemudian berada di udara selama kira-kira 10 saat sebelum mendarat untuk mencatatkan rekod berkenaan.

Pemenang pingat emas dan perak individu Sukan Olimpik 2022 difahamkan ‘berjaya’ mengatasi rekod dunia semasa yang dipegang Stefan Kraft dari Austria sebanyak 37.5 meter.

Sebelum ini, pasukan Kobayashi mengambil masa selama dua bulan untuk membina platform khas lompatan ski setinggi 3,658 kaki (1,115 meter) itu. Oleh itu, Kobayashi ternyata merasa sangat lega apabila lompatan yang dibuat berjaya melepasi rekod dipegang Stefan.

Kobayashi pada masa yang sama mengakui dia sebenarnya menyasarkan lompatan sehingga 300 meter dalam percubaan berkenaan.

“Sukar untuk menggambarkan perasaan ini dengan kata-kata kerana impian saya sudah menjadi kenyataan.

“Walaupun 300 meter adalah matlamat saya, namun saya ingin lakukan cabaran itu sekali lagi,” katanya seperti yang dilaporkan dalam CNN.

Pencapaian Ryoyu Kobayashi tidak diiktiraf oleh FIS

Malangnya, cacatan Kobayashi tidak akan diiktiraf oleh Persekutuan Ski dan Papan Salji Antarabangsa (FIS) kerana lompatan yang dibuat tidak memenuhi syarat pertandingan badan induk tersebut.

Menurut FIS dalam satu kenyataan, pertandingan ski terbang perlu berdasarkan sistem pengukuran jarak yang diperakui oleh pihaknya dan berlangsung di tempat ditentukan oleh FIS.

Ia bagi memastikan semua atlet yang mengambil bahagian dapat bersaing secara adil berdasarkan peraturan yang sama sebelum rekod mereka diiktiraf.

“Malah, peralatan yang diguna dan pakaian yang dipakai atlet juga perlu diuji oleh pengawal peralatan yang diperakui FIS,” ujar badan induk itu lagi.

Walau bagaimanapun, badan rasmi berkata mereka mengalu-alukan penyertaan Kobayashi dalam Piala Dunia musim sejuk akan datang untuk bersaing memecahkan rekod dunia secara acara rasmi.

Sumber: CNN 

Athirah

When nothing goes right, go left.