Siakap Keli

Tular Video Pergaduhan Berkumpulan Di Tempat Letak Kereta, Seorang Lelaki Ditangkap – PDRM

Seorang lelaki ditangkap ekoran terlibat dalam satu pergaduhan di Johor Bahru seperti yang terpapar dalam video tular pada 13 Mac semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Johor, ACP Dzulkahiri Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai rakaman pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di tempat letak kereta di Taman Nusa Bestari.

Jelas Dzulkhairi, siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut berlaku pada pukul 12:30 tengah malam.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki berumur dalam lingkungan 18 tahun yang mengalami kecederaan di bahagian lutut kiri dan kanan serta bahagian muka.

“Hasil siasatan tersebut mendapati punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham dan pertengkaran mulut antara saspek dan beberapa orang lelaki yang tidak dikenali.

“Kejadian tersebut berlaku ketika mereka sedang minum minuman keras  di salah sebuah restoran kawasan Taman Nusa Bestari,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, orang awam (ketika itu) turut menghubungi ambulans untuk membantu mangsa mendapatkan rawatan.

Menurut kenyataan itu lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih berjalan bagi mengenal pasti suspek-suspek lain yang masih bebas.

“Turut dinasihatkan agar netizen tidak membuat sebarang spekulasi menggunakan video yang diviralkan dalam insiden tersebut,” tambah Dzulkhairi.

Sumber: PDRM

 

Faiz Mustafa