Siakap Keli
Gambar Hiasan: Freedomofhealth.eu & Allrecipes

Garam Buluh Boleh Merawat Penyakit = Fakta, Mitos Atau ‘Over Claim’? Ini Penjelasannya

Penggunaan garam dalam sesuatu masakan adalah untuk menambahkan lagi rasa sajian, malah ia juga merupakan bahan paling asas dan wajib digunakan ketika memasak.

Garam yang digunakan sekarang bukanlah hanya jenis yang biasa sahaja, malah terdapat pelbagai jenis garam lain yang boleh ditemui iaitu garam halus, garam kasar, garam bukit, garam buluh (bamboo salt), garam kosher dan garam Himalaya.

Bagaimanapun difahamkan, penggunaan garam yang berlebihan boleh memudaratkan kesihatan seseorang. Begitu juga dengan penggunaan bamboo salt ini.

Umum mengetahui bahawa garam buluh merupakan garam yang dijemur di bawah matahari. Garam ini akan dibakar di dalam buluh selama enam hingga lapan jam. Biasanya kita terdengar dakwaan bahawa garam buluh ini boleh merawat penyakit.

Persoalannya di sini adakah benar bahawa garam buluh ini memang betul-betul dapat merawat penyakit? Jika ia boleh merawat penyakit, bagaimana pula dengan garam-garam yang lain?

Adakah ia fakta yang benar? Atau mitos? Atau sekadar ‘over claim‘ oleh pihak tertentu? Bagi menjawab persoalan itu, Public Health Malaysia ada jawapannya.

Benarkah ‘Garam Buluh Boleh Merawati Penyakit?

Jika anda adalah penjual produk berasaskan garam buluh, mohon HENTIKAN aktiviti pemasaran berlebihan dengan menyatakan ia sebagai bahan untuk merawat penyakit.

Garam buluh, garam himalaya, garam kosher dan garam laut adalah sejenis garam dan ia mengandungi kandungan natrium yang hampir sama. Oleh itu pengambilan harian perlu terhad dan tidak melebihi 1 sudu teh sehari.

Sebenarnya, bamboo salt adalah sejenis garam biasa yang dimasukkan ke dalam buluh dan dibakar selama 6-8 jam. Ia mungkin lebih bersih dan mengandungi kandungan potasium yang lebih tinggi, namun ia tetap sejenis garam dan TIDAK mempunyai kesan untuk merawat penyakit kronik.

Sebelum ini pernah terjadinya kes. Seorang pelajar universiti yang berusia 20 tahun telah dikejarkan ke bahagian kecemasan setelah mengalami muntah berterusan melebihi 10 kali dan cirit-birit untuk dua hingga tiga jam.

Pemeriksaan lanjut mendapati tubuh badannya lemah. Ujian darah mendapati paras garam sodium terlalu tinggi. Keadaan beliau dikenalpasti sebagai Hypernatraemia

Rupa-rupanya, beliau telah mengamalkan pengambilan bamboo salt sebanyak 150 gram setiap hari selama 10 hari untuk membantu penghadaman dan mengurangkan berat badan.

Dalam kes berlainan, seorang pesakit buah pinggang kronik yang stabil dan dalam pemantaun pakar buah pinggang datang dengan kerosakan buah pinggang akut akibat pengambilan garam buluh yang diambil untuk menyembuhkan masalah buah pinggang.

Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi, yang jika tidak dikawal akan menyebabkan penyakit jantung serta penyakit angin ahmar. Apabila minuman seperti kopi pun ditambah dengan garam seperti ini, bayangkan berapa banyak garam yang anda ambil setiap hari.

Gambar: Public Health Malaysia

BACA JUGA: Boleh Membunuh, Ketahui Bahaya ‘Hot Dog’ Kepada Kanak-Kanak

Sumber: Public Health Malaysia

Nadhirah