Siakap Keli

Perang Rusia-Ukraine Didakwa Mungkin Berakhir Mei Nanti? Ini Alasan Yang Diberi

Perang Ukraine-Rusia didakwa mungkin bakal berakhir pada awal bulan Mei.

Oleksiy Arestovich, penasihat kepada Presiden Ukraine mendakwa perang mungkin berakhir pada awal bulan berkenaan apabila Rusia kehabisan sumber untuk menyerang ‘jirannya’.

Berdasarkan laporan Times Now News, terdapat sedikit kemajuan dalam perbincangan antara Kyiv dan Moscow, selain pembukaan koridor kemanusiaan keluar dari bandar Ukraine.

Kata Arestovich, pihaknya tidak terlibat secara peribadi dalam mana-mana rundingan antara Rusia dan Ukraine.

Menurut laporan, beberapa media Ukraine telah menerbitkan video yang menunjukkan Arestovich berkata bahawa tempoh perang ketika ini bergantung kepada berapa banyak sumber yang Rusia sanggup gunakan.

“Saya fikir selewat-lewatnya pada awal bulan Mei. Kita sepatutnya mengadakan perjanjian damai, mungkin lebih awal lagi,” katanya.

“Kita akan lihat, saya bercakap mengenai tarikh terkini yang mungkin berlaku.”

Tambahnya, pihaknya dan Rusia kini berada di persimpangan melibatkan 2 situasi. Pertama, sama ada perjanjian damai dapat diselesaikan dengan segera. Atau, Rusia bertindak ‘benar-benar gila’, dimana rekrut baharu dihantar untuk melancarkan serangan gelombang kedua.

Dakwanya, walaupun keamanan dicapai, namun pertempuran taktikal kecil mungkin berterusan selama setahun walaupun Ukraine mendesak semua tentera Rusia meninggalkan negara itu.

Presiden Vladimir Putin melancarkan operasi kenteteraan khas di Ukraine pada 24 Februari lalu, yang menandakan serangan terbesar yang dilakukan ke atas sebuah negara Eropah sejak Perang Dunia II.

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, lebih 2.8 juta orang telah melarikan diri dari Ukraine dan 636 orang awam dilaporkan terbunuh, termasuk berpuluh-puluh kanak-kanak sejak permulaan krisis.

BACA: Apa Itu “No-fly Zone”, Kenapa NATO & Amerika Berkeras Tak Nak Isytihar Di Ukraine? Ini Jawapannya

Sumber : Times Now News

Fathin Nadzira