Siakap Keli
Gambar: Howstuffworks & Physicsastronmy

(Video) Pertama Kali Tengok, Macam Ni Rupanya Bentuk Pelangi ‘Penuh’

Pelangi merupakan salah satu fenomena alam yang sangat indah untuk dilihat. Mengikut urutan ‘kejadiannya’, ia mempunyai tujuh warna yang berbeza.

Dimulai dengan warna di lengkung bahagian luar iaitu merah dan diikuti dengan jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan juga warna ungu di lengkung bahagian paling dalam.

Menurut Earth Sky, kejadian pelangi ini terhasil apabila cahaya matahari yang terpancar terbias melalui titisan-titisan air di udara. Sebab itulah anda hanya akan melihat pelangi selepas hujan.

Namun pada pandangan mata kita, bahagian bawah pelangi biasanya ‘terlindung’ oleh permukaan bumi. Disebabkan itulah apa yang anda boleh lihat hanyalah separuh bahagian sahaja.

Tahukah anda sebenarnya pelangi ini boleh dilihat dalam keadaan bulatan penuh? Tetapi tak semua orang mampu untuk melihatnya dalam keadaan penuh itu.

Syarat untuk melihat pelangi penuh

Memetik laporan Earthsky, pelangi penuh ini hanya dapat dilihat sekiranya anda berada pada kedudukan yang lebih tinggi daripada puncak pelangi.

Semakin rendah matahari semakin tinggilah puncak pelangi. Sekiranya anda berada atau ‘terbang’ lebih tinggi berbanding puncak pelangi itu, maka anda akan dapat melihat pemandangan sebenar pelangi penuh.

Sebab itulah, kebanyakan juruterbang dapat melihat fenomena pelangi penuh ini. Hal ini dikatakan kerana mereka sememangnya akan mengendalikan kapal terbang tinggi di udara.

Begitu juga dengan para pendaki gunung. Mereka juga akan dapat menyaksikan fenomena ini di atas puncak gunung yang sangat tinggi.

Bagi anda yang mungkin tidak berkesempatan untuk melihat fenomena ini, anda boleh menonton perkongsian video di bawah.

Video yang dikongsikan Physics astronmy memaparkan situasi pelangi penuh yang dapat dilihat berada pada atas permukaan laut.

Dalam video ini, separuh paras pelangi dilihat berada di permukaan langit manakala separuh lagi berada pada atas permukaan laut.

Di manakah hujung pelangi?

Bukan sahaja pemandangan kejadian pelangi penuh yang menjadi ‘idaman’ ramai, malah lokasi sebenar penghujungnya pun turut ‘dicari-cari’.

Tahukah anda, seorang netizen di negara ini pernah ‘menggemparkan’ media sosial apabila dia mendakwa berjaya merakam lokasi penghujung pelangi.

Apa yang menariknya, lokasi penghujung pelangi itu dikatakan benar-benar berada di depan rumahnya sendiri.

Pengalaman menariknya ini pernah dikongsikan ke TikToknya dan tular di media sosial kira-kira sembilan bulan yang lalu.

Nak melihat rakaman penghujung pelangi? Boleh ikuti pautan yang disertakan di bawah ini.

BACA JUGA: (Video) “First Time” Tengok, Lelaki Berjaya Rakam ‘Hujung’ Pelangi Depan Rumah

Sumber: Earth Sky

Nadhirah