Siakap Keli
Gambar: Darah beku/sekadar hiasan

Risiko Alami Darah Beku Lebih Tinggi Sehingga Enam Bulan Selepas Dijangkiti COVID-19 – Kajian

Individu yang pernah dijangkiti COVID-19 berdepan risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi darah beku yang lebih serius sehingga enam bulan selepas dijangkiti, walaupun dalam kes ringan.

Perkara itu didedahkan menerusi satu kajian baharu di dalam jurnal perubatan BMJ yang menunjukkan berapa lama ancaman darah beku boleh berlarutan, berbanding penyelidikan sebelum ini yang hanya mengesan risiko darah beku dalam pesakit COVID-19.

Menerusi kajian, penyelidik membandingkan data daripada lebih sejuta orang dalam pendaftaran negara Sweden yang dijangkiti COVID-19 dari Februari 2020 hingga Mei 2021, dengan kumpulan kawalan melibatkan lebih empat juta yang tidak diuji positif.

Hasil kajian mendapati mereka yang menghidap COVID-19 mempunyai risiko embolisme pulmonari yang lebih tinggi, bekuan darah yang menyekat arteri dalam paru-paru sehingga enam bulan selepas jangkitan.

Terdapat juga peningkatan bahaya Trombosis urat dalam (DVT) yang dikesan iaitu bekuan darah yang biasanya berada di kaki sehingga tiga bulan selepas dijangkiti COVID-19.

Baca: Sijil Vaksinasi, Saringan COVID-19 Malaysia Menepati Sistem Pengurusan Vaksin Kesatuan Eropah

Malah, penyelidik juga mendapati pesakit COVID-19 berdepan risiko risiko embolisme pulmonari sebanyak 33 kali ganda serta peningkatan lima kali ganda untuk DVT.

Selain itu, individu yang mengalami gejala teruk akibat COVID-19 dikatakan lebih berisiko mengalami masalah ini dan mereka yang mengalami gejalan ringan mempunyai bahaya yang lebih tinggi untuk embolisme pulmonari dan DVT.

Difahamkan, risiko pembekuan darah adalah lebih tinggi semasa gelombang pertama wabak berbanding gelombang seterusnya di mana disebabkan oleh liputan vaksin COVID-19 dan rawatan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Oleh itu, para penyelidik meminta lebih banyak rawatan dapat dilakukan bagi mencegah pembekuan darah daripada meningkat, terutamanya dalam kes berisiko tinggi selain penekanan kepada orang ramai untuk mendapatkan vaksin.

Sumber: AFP

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.