Siakap Keli
projek jeti kayu
Gambar: JKR Sarawak

Projek Jeti Kayu RM50,000: JKR Sarawak Jelaskan Kenapa Kos Tinggi

Projek jeti kayu sepanjang 15 meter dan berukuran satu meter lebar di Kampung Mutap, Bekenu di Sawarak yang menelan kos hingga RM50,000 adalah kerana dibuat daripada kayu belian.

Pendedahan tersebut diumumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerusi satu kenyataan pada semalam, berikutan ia tular di media sosial berkenaan harganya yang didakwa agak ‘tinggi’.

“Tular kenyataan projek yang telah siap itu tidak wajar dengan kos bajet RM50,000.00. Anggaran kos kami adalah berdasarkan Jadual Kadar (SOR) JKR Sarawak tahun 2020 dengan kadar RM9,000.00 semeter kiub bagi kayu belian yang lebih rendah daripada harga pasaran semasa.

“Kami juga mengambil kira keadaan laluan jalan (jalan ladang) ke Kampung Mutap, logistik dan keselamatan (kawasan yang dipenuhi buaya).

“Dalam bajet RM50,000.00, kami berjaya mereka bentuk jeti sehingga 15 meter panjang dengan dua anak tangga,” maklum kenyataan tersebut semalam.

Difahamkan, projek jeti kayu dengan kos RM50,000 yang diperuntukkan tersebut adalah merupakan salah satu inisiatif kerajaan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Sementara itu, menurut AWANI, ketua kampung sudah dimaklumkan oleh JKR Sarawak mengenai projek tersebut yang telah siap pada 6 April lalu, malah turut bersetuju dengan bahan binaan serta reka bentuknya.

“Reka bentuk yang diminta oleh ketua kampung sewaktu perbincangan ketika lawatan tapak adalah jeti sepanjang 30 meter dan dilengkapi dengan pondok kayu.

“Pegawai kami memaklumkan bahawa permintaan itu tidak dapat dilakukan atas faktor bajet yang terhad (RM50,000.00), lalu ketua kampung bersetuju dengan cadangan mengikut bajet yang diperuntukkan,” katanya, lapor Awani.

Sumber: FB JKR Sarawak, AWANI

 

Faiz Mustafa