Siakap Keli
jong un rumah
Gambar via Twitter

50 Tahun Berkhidmat Dengan Tv Kerajaan, Kim Jong Un Hadiahkan Rumah Untuk Penyampai Berita Veteran

PYONGYANG – Presiden Korea Utara, Kim Jong Un menghadiahkan sebuah rumah baharu kepada penyampai berita veteran negaranya, iaitu Ri Chun Hi.

Rumah yang diberikan pemimpin itu kepada Chun Hi berupa sebuah apartment yang terletak di tepi sungai di ibu kota Pyongyang, lapor AFP.

Chun Hi telah berkhidmat untuk negaranya sebagai seorang penyampai berita media tempatan selama lebih 50 tahun.

Selama perkhidmatannya, Chun Hi dikatakan telah banyak menyalurkan berita-berita bersejarah yang pernah belaku di Korea Utara.

Memetik laporan AFP, Jong Un turut memberikan unit-unit apartment lain di lokasi berkenaan kepada rakyat yang telah berjasa dalam memaju dan membangunkan negara itu.

Kompleks apartment tersebut telah selesai dibangunkan hari ini, tepatnya pada hari kelahiran ke-110 pemimpin pertama Korea Utara dan datuk kepada Jong Un, iaitu Kim Il Sung.

Il Sung meninggal dunia pada tahun 1994 dan tetap menjadi ‘Presiden Abadi’ negara itu.

Mayat pemimpin pertama Korea Utara itu dipelihara dengan baik dan diletakkan di dalam bilik dengan cahaya merah di Istana Matahari Kumusan yang terletak di pinggir kota Pyongyang.

Dalam upacara besar-besaran itu, rakyat Korea Utara menaburkan bunga dan memberi penghormatan di depan tugu peringatan mendiang Il Sung dan anaknya, Kim Jong Il.

Acara tersebut dilakukan tiga minggu selepas peluru berpandu balistik antara benua terbesar dilancarkan oleh negara pimpinan Jong Un dalam tempoh lima tahun.

Sumber: AFP

Eyla Azri