Siakap Keli

Kes Basikal Lajak: Kerani Wanita Dibebaskan Dengan Jaminan Sementara Rayuan Didengar

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P. Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Sam Ke Ting, 27, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah hari ini juga membenarkan permohonan Sam yang memakai baju kurung biru itu untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepaskan dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

Panel tiga hakim itu membenarkan permohonan Sam yang hadir ke mahkamah dengan tangan bergari, selepas Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup tidak membantah permohonan berkenaan.

Manoj berkata pihaknya tidak membantah permohonan kerana kes itu berkepentingan awam selain mengakui pemohon (Sam) tidak akan melarikan diri.

Ravinthran kemudiannya membenarkan permohonan kebenaran untuk merayu, dan rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

“Kami telah berbincang dan pemohon (Sam) dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin,” kata Ravinthran dalam keputusan sebulat suara itu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan peguam Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Sam untuk meminda notis rayuan dengan memasukkan persoalan undang-undang dalam notis berkenaan.

Muhammad Faizal berkata permohonan itu dibuat berikutan beliau mengalami kesukaran untuk mendapatkan nota prosiding Mahkamah Tinggi berhubung kes itu kerana kesuntukan masa.

“Permohonan untuk kebenaran merayu difailkan pada Khamis (14 April) bersama dua afidavit sokongan. Disebabkan Johor cuti pada Jumaat, saya mengalami kesukaran berhubung dengan mahkamah. Oleh sebab itu, saya tidak sempat untuk mendapatkan nota prosiding daripada mahkamah,” katanya.

Menurut peguam itu terdapat enam persoalan undang-undang yang perlu dijawab termasuk sama ada keterangan tidak bersumpah oleh Sam boleh diterima sebagai penjelasan kepada pembelaannya dan sama ada wujud beban atas wanita itu bagi membuktikan tanggungjawab untuk memandu dengan lebih berhati-hati berbanding kumpulan basikal yang menghalang laluan utama.

Muhammad Faizal dalam hujahan penangguhan pelaksanaan hukuman dan rayuan berhubung jaminan berkata berdasarkan rekod mahkamah, anak guamnya hadir pada setiap kali perbicaraan dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

“Pemohon (Sam) yang bekerja sebagai kerani sebelum ini diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin oleh mahkamah.” katanya.

Di awal prosiding, panel tiga hakim itu membenarkan permohonan Majlis Peguam yang diwakili peguam Ravinder Singh Dhaliwal untuk menjadi amicus curiae (sahabat mahkamah), namun menolak dua lagi permohonan sama oleh MCA dan Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM).

Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Muhammad Faizal berkata anak guamnya berpesan supaya orang ramai tidak berdebat berhubung kes berkenaan dengan menimbulkan isu perkauman.

“Anak guam saya seorang yang patuh kepada kedaulatan undang-undang dan akur dengan keputusan mahkamah,” kata peguam itu.

Menurut Muhammad Faizal, anak guamnya dijaga dengan baik sepanjang berada di dalam penjara selain turut berterima kasih kepada keluarga, rakan dan persatuan yang menyokong dan prihatin terhadapnya.

Sumber: Bernama

Sofea

There's always another side to every story