Siakap Keli

Penumpang Bertempiaran Lari, Pelancong Amerika Bawa Bom Betul Disangka Cenderahati Di Lapangan Terbang Israel

Sebuah keluarga yang berasal dari Amerika Syarikat mencetuskan panik di Lapangan Terbang Ben Gurion di Israel.

Memetik perkongsian di Twitter, keluarga berkenaan berkunjung ke Israel dan telah melawat Bukit Golan dalam rangka percutian mereka. Salah seorang daripada mereka bertindak mengambil sebuah bom yang tidak meletup yang ditemui di kawasan bukit tersebut sebagai cenderahati.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dilapangan terbang ketika mereka mahu pulang ke Amerika Syarikat, salah seorang daripada ahli keluarga tersebut menunjukkan ‘cenderahati’ yang dibawa mereka itu kepada pegawai keselematan.

Pemeriksaan yang dibuat kemudian mendapati bom tangan berkenaan adalah bom asli yang masih belum meletup. Ia menyebabkan pasukan keselamatan di lapangan terbang tersebut segera mengarahkan orang ramai mengosongkan kawasan terminal lapangan terbang.

Arahan berkenaan menyebabkan berlaku kekecohan dengan orang ramai kelihatan bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Berdasarkan rakaman kejadian yang tular, dapat didengari dengan jelas suara orang awam yang menjerit panik.

Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan cedera akibat terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.

Selepas pemeriksaan lanjut daripada pihak keselamatan, kesemua ahli keluarga pelancong berkenaan dibenarkan meneruskan penerbangan, bagaimanapun ‘cenderahati’ yang ingin dibawa balik itu telah dirampas.

Sumber: Twitter

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.