Siakap Keli
ustaz kazim
Kredit Gambar: Dato' Ustaz Mohd Kazim Elias

“Selama Ini Saya Sembunyikan Melalui Tampalan,” Ustaz Kazim Dedah Perkara Sebenar

Tular mengenai keadaan kesihatannya sejak semalam, Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias atau lebih mesra dipanggil Ustaz Kazim Elias (UKE) mengucapkan terima kasih kepada netizen yang menawarkan bantuan dan mendoakannya.

Menerusi perkongsian terbaru di Facebook miliknya, UKE berkata selama ini beliau telah merahsiakan keadaan dirinya daripada pengetahuan khalayak umum tetapi memutuskan untuk tidak menyembunyikannya lagi.

“Selama ini saya simpan keadaan diri saya tetapi selepas berusaha mendapat rawatan moden dan tradisional selama lapan bulan ini, saya rasa saya tidak boleh lagi sembunyi dari orang ramai,” katanya.

Selama ini disembunyikan melalui tampalan

Beliau juga telah memaparkan keadaan wajahnya yang selama ini dipercayai disembunyikan melalui tampalan.

“Ini keadaan muka saya sekarang dan selama ini saya sembunyikan melalui tampalan apabila muncul di khalayak.

“Bukan hanya di muka malah seluruh badan. Ianya boleh terjadi luka dengan sendiri sehingga mengeluarkan darah tanpa semena-mena.

“Saya tidak boleh siarkan keadaan yang lain kerana saya malu, saya rasa rendah diri sangat-sangat.

“Sebab itu saya siarkan lengan petang tadi sebagai kiasan pada badan saya,” ujarnya.

ustaz kazim
Kredit Gambar: Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias

Menurutnya lagi, disebabkan keadaannya itu beliau memerlukan pertolongan sama ada daripada doktor atau perubatan alternatif yang boleh membantu merawatnya.

Selama menghidap sakit itu, beliau juga tidak dapat tidur dengan lena sejak berbulan yang lalu dan sering merasa gatal, pedih dan gelisah.

“Sakit, gatal, gelisah, pedih dan pelbagai perasaan saya selama ini tidak boleh lagi saya sorok.

“Saya tidak boleh tidur seharian sejak berbulan yang lepas.

“Saya bimbang dengan keadaan saya ini akan menghilangkan saya dari dunia dakwah,” katanya.

Jelasnya, beliau masih lagi menerima semua jemputan ceramah dan program walaupun berada dalam keadaan sakit.

Malah, beliau kadang kala keluar dari tempat ceramah dengan tergesa-gesa kerana tidak dapat menahan kepedihan dan kesakitan yang ditanggung.

“Walau kadang-kadang dilabel sombong kerana tidak beramah mesra dengan pendengar seperti dulu-dulu tetapi tetap saya tabahkan hati sebab saya tahu orang ramai tidak tahu keadaan sebenar saya.

“Terima kasih pada yang menawarkan bantuan dan nasihat kesihatan kepada saya. Saya dah berusaha berubat di banyak tempat tapi belum diberi keizinan oleh Allah.

Siarkan gambar sebagai kiasan

“Mungkin ada dalam kalangan tuan atau puan yang boleh membantu saya maka dengan itu saya siarkan gambar lengan kesan khas sebagai kiasan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, UKE juga memohon maaf jika selama ini perkataan dan tingkah lakunya mengguris hati orang ramai.

Terdahulu, beliau telah memuatnaik sekeping gambar yang menunjukkan keadaan lengannya dan memohon pertolongan dari orang ramai yang boleh membantunya.

Gambar tersebut telah menjadi tular di media sosial. Rata-rata netizen berasa kasihan dan mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan atas penyakit yang dialaminya itu.

ustaz kazim
Kredit Gambar: Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias

BACA: Hati-Hati Suami, ‘Bahaya’ Kalau Isteri Jumpa “Port Shopping” Paling ‘Berhantu’ Ni

Sumber: Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias

Sofea

There's always another side to every story