Siakap Keli
penyanyi

Polis Tingkat Kawalan Ekoran Letupan, Tembakan Di Tak Bai

KOTA BHARU, 26 Mei (Bernama) – Polis Kelantan akan meningkatkan kawalan dan risikan susulan kejadian tembakan dan letupan bom yang berlaku di pekan Tak Bai, Narathiwat, Thailand, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata semua unit risikan di sempadan telahpun menjalankan tugasan dan setakat ini kejadian tersebut tidak melibatkan rakyat Malaysia.

Beliau berkata keselamatan di negara ini amat terjamin kerana kawalan di sempadan sentiasa dipertingkatkan.

“Daripada pemerhatian kita percaya insiden yang berlaku tengah malam tadi tidak ada kaitan dengan kegiatan penyeludupan.

“Apapun kita kena tunggu hasil siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara jiran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata sejak pintu sempadan antara Malaysia dan Thailand dibuka, kawalan keselamatan di sempadan sentiasa dipertingkatkan.

“Dari segi kawalan kita mempunyai tiga lapisan iaitu lapisan pertama, kedua dan ketiga serta terbukti berkesan.

“Kita juga turut mengadakan perjumpaan dengan agensi dari negara jiran bagi pertukaran maklumat secara lebih sistematik,” katanya yang berharap penduduk tempatan di sempadan berperanan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata kejadian di Tak Bai itu tidak akan sesekali menyebabkan pintu sempadan negara ditutup.

Katanya, setakat ini proses keluar masuk penduduk di sempadan tidak mempunyai masalah sekiranya mereka menggunakan dokumen yang sah.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang