Siakap Keli
menteri kesihatan dipecat
Foto: Diplomatie.ma

Kebakaran Hospital, Menteri Kesihatan Senegal Dipecat

KIGALI (Rwanda), 27 Mei (Bernama) – Menteri Kesihatan, Abdoulaye Diouf Sarr dipecat oleh Presiden Senegal Macky Sall pada Khamis susulan insiden kebakaran hospital yang mengorbankan nyawa 11 bayi baru lahir.

Dalam ucapannya di televisyen, Sall menamakan Marie Khemesse Ngom Ndiaye sebagai menteri kesihatan baharu, lapor Agensi Anadolu.

Ndiaye pernah berkhidmat sebagai ketua pengarah kesihatan awam.

Pada Rabu, 11 bayi baru lahir maut dalam kebakaran di unit neonatal Hospital Mame Abdou Aziz Sy Dabakh di Tivaouane yang mencetuskan kemarahan rakyat.

Sarr, yang berada di Geneva untuk menghadiri perhimpunan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terpaksa memendekkan lawatannya.

Sementara itu, pihak pendakwa raya memaklumkan siasatan masih diteruskan untuk menentukan punca sebenar kejadian.

Mengimbas kembali, kejadian yang hampir sama turut pernah berlaku pada akhir April lalu di bandar Linguere yang menyebabkan empat bayi baru dilahirkan terkorban.

Lapor NFP, kejadian itu berlaku disebabkan oleh kerosakan kompenan elektrik pada unit pendingin hawa di bahagian wad bersalin. Namun lebih memilukan, seorang wanita hamil yang sedang menunggu untuk menjalani pembedahan secara caesar turut maut dalam insiden itu.

Sehubungan itu, kematian wanita tersebut menimbulkan kemarahan rakyat di seluruh negara berikutan sistem kesihatan awam yang teruk di Senegal. Dalam masa sama, tiga bidan hospital turut dikenakan hukuman enam bulan penjara pada 11 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Louga kerana gagal membantu pesakit yang dalam bahaya.

Sumber: Bernama

Baca juga: Pelajar Ditahan Bawa AK-47 Pistol & Replika AR-15 Ke Sekolah, Sehari Selepas Insiden Tembakan Ragut 21 Nyawa

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang