Siakap Keli
kanak-kanak rompak stesen minyak
Gambar via News

Kanak-Kanak 12 Tahun Rompak Stesen Minyak, Bawa Keluar RM21K

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilapor merompak sebuah stesen minyak dengan menggunakan senjata api dipercayai pistol dalam satu kejadian di Amerika Syarikat (US) baru-baru ini.

Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) premis tersebut bertarikh 1 Jun, suspek pada awalnya dilihat berdiri menunggu giliran di kaunter juruwang sambil menggalas satu beg bewarna gelap.

Memetik News, sebaik sahaja gilirannya tiba, suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacukannya ke arah juruwang dan menjerit “Masukkan wang ke dalam beg ini” sambil menghulurkannya.

Pada awalnya, juruwang itu tidak mendengar dengan jelas permintaan dari suspek dengan memberi reaksi soalan “Apa?”, lalu suspek mengulangi permintaannya dengan meletakkan beg itu di kaunter.

“Adakah anda serius?” juruwang itu bertanya lagi sekali, mungkin tidak percaya suspek berniat mahu merompak pada usia semuda itu.

Kemudian, suspek mengacukan pistol ke arah bumbung dan melepaskan satu tembakan. Oleh kerana risau akan keselamatannya, juruwang tersebut menyerahkan kantung berwarna biru dan segera menyuruh dia beredar.

Menurut media tempatan, suspek keluar dari stesen minyak itu dengan membawa sejumlah wang rompakan bernilai RM21,955, bagaimanapun akhirnya ditahan polis beberapa jam selepas itu.

Bagitahu rakan sekelas nak pergi merompak

Pegawai polis, Hartford Michael Prince berkata, suspek pernah memberitahu rakan sekelasnya bahawa dia akan melakukan rompakan tersebut pada hari itu.

Namun rakannya itu tidak menyangka bahawa dia memang akan melakukan perkara itu dengan serius, lapor WWMT menerusi News pada Jumaat.

“Dia tanya kepada pelajar lain, stesen minyak mana yang kurang keselamatan? Dan mereka berkata, ‘Stesen Minyak Marathon’,” katanya merujuk kepada nama stesen minyak, lapor News.

Difahamkan, senjata tersebut diambil dari peti besi milik ayahnya, namun tiada sebarang unsur kekerasan seperti kesan pecah ditemui di luar peti berkenaan.

Hal ini kerana dia dipercayai sudah tahu apa kata laluan keselamatan yang telah ditetapkan ayahnya pada peti besi tersebut.

Sudahlah merompak, bohong polis lagi

Menurut polis lagi, suspek terbabit menafikan rompakan tersebut, sebaliknya menyatakan bahawa dia ke situ hanya untuk dapatkan wang.

“Dia banyak berbohong tentang pelbagai perkara. Dia enggan memberitahu kami alasan sebenar dia melakukan hal tersebut.

“Kejadian itu dirakam menggunakan kamera berdefinisi tinggi (HD) melalui tiga sudut yang berbeza di premis tersebut. Saya juga tidak tahu apa yang anak muda ini fikirkan,” jelasnya, lapor News.

Sehubungan itu, suspek kini menghadapi enam pertuduhan iaitu rompakan bersenjata; serangan dengan senjata berbahaya; melepaskan tembakan dalam bangunan dan tiga lagi pertuduhan jenayah senjata api.

Sementara itu, kes jenayah melibatkan senjata api oleh golongan remaja telah menjadi isu hangat di US sejak akhir-akhir ini hingga menjadi antara topik utama di peringkat global.

Perdebatan itu dibangkitkan semula selepas kejadian tembakan beramai-ramai di sebuah sekolah rendah di Uvalde, Tesxas pada 24 Mei lalu, di mana seorang remaja 18 tahun menembak dan membunuh 19 kanak-kanak dan dua guru.

Sumber: News

Faiz Mustafa