Siakap Keli
empat hari dalam seminggu
Gambar: The Guardian

UK Mula Cuba Kerja Empat Hari Dalam Seminggu

Percubaan bekerja hanya selama empat hari dalam seminggu telah dimulakan di United Kingdom (UK) dengan penyertaan lebih daripada 70 syarikat dan 3,300 pekerja.

Ribuan pekerja merentasi pelbagai sektor ekonomi UK dilaporkan telah mengambil bahagian untuk kajian global ini yang bermula pada hari Isnin lalu.

Pekerja yang mengambil bahagian masih lagi akan menerima gaji penuh, lapor Economic Times.

Program Perintis 4 Hari Seminggu UK itu dilakukan bagi mengkaji produktiviti serta kesejahteraan kakitangan dalam menyampaikan hasil kerja yang serupa untuk tempoh enam bulan.

Kira-kira 70 syarikat antaranya syarikat perbankan, hospitaliti, penjagaan dan studio animasi telah mendaftar untuk mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan ini. Ia juga turut melibatkan ahli akademik dari universiti Oxford dan Cambridge, serta pakar di Kolej Boston di AS.

Lebih 150 syarikat dan 7,000 pekerja di seluruh Amerika Syarikat, Kanada, UK, Ireland, Australia dan New Zealand dilaporkan telah mendaftar untuk mengambil bahagian dalam percubaan bekerja empat hari seminggu selama enam bulan ini.

“Empat hari seminggu biasanya dianggap sebagai dasar dividen tiga kali ganda – membantu pekerja, syarikat dan iklim. Usaha penyelidikan kami akan menggali semua ini,” kata Juliet Schor, profesor sosiologi di Boston College dan selaku ketua penyelidik bagi program ini.

Sam Smith, pengasas bersama Pressure Drop Brewery di utara London dan antara salah satu syarikat yang mengambil bahagian, berkata ia merasakan “masa yang baik” untuk syarikat itu mencuba amalan kerja yang berbeza.

“Pandemik ini membuatkan kami banyak berfikir tentang kerja dan cara orang mengatur kehidupan mereka,” katanya kepada BBC.

Majikan dan pekerja dalam program yang dianjurkan ini akan mempunyai akses kepada kepakaran, alatan dan sumber seperti bengkel dan bimbingan yang diperlukan untuk menjalaninya dengan lancar dan berjaya sehingga akhir tahun ini.

Sumber: Economic Times

Nurfatihah Shahirah Azzuddin

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.