Tular wanita tak sangka duit tabung dimakan anai-anai selepas sekian lama menyimpan, hasrat untuk beli motosikal tidak tercapai.
Menabung merupakan amalan yang wajar diterapkan sejak dari kecil lagi kerana ia mengajar seseorang untuk sentiasa berjimat cermat selain berdisplin.
Bak kata peribahasa, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Hasil menabung mungkin mengambil masa yang lama untuk digunakan tetapi jumlahnya boleh menampung keinginan dan kehendak kita.
Bagaimanapun, menabung terlalu lama juga kadang kala boleh ‘memakan diri’ apabila wang di dalam tabungan mungkin tidak boleh digunakan lagi.
Seperti yang berlaku pada seorang wanita di Indonesia ini yang terpaksa ‘berputih’ mata setelah wang yang disimpan di dalam tabung rosak dimakan anai-anai.
Ia sekaligus ‘meranapkan’ impiannya untuk membeli motosikal baharu.
Memetik laporan Suara.com, wanita tersebut telah memuat naik satu video di TikTok yang memaparkan tabung wangnya menjadi ‘sarang’ anai-anai.
Menerusi video itu, kelihatan tabung yang diperbuat daripada kadbod sudah rosak akibat ‘serangan’ si anai-anai.
Di bahagian hadapan tabung itu, tertera ‘Beli motor’ yang ditulis oleh wanita terbabit.
Ketika tabung itu dibuka, wang di dalamnya yang semuanya merupakan pecahan Rp 10 ribu juga telah rosak dimakan serangga itu.
@_yourquueen bersyukur bukan yg merah🙂 #rayappan #foryou #nabungchallenge #arjunabeta #nabungrutin
Videonya itu telah mendapat perhatian dan rata-rata netizen telah memberikan beberapa solusi untuknya.
“Boleh ditukar di bank, yang penting nombor sirinya masih lagi kelihatan,” kata seorang netizen.
“Boleh dibawa ke bank terdekat, kalau ukurannya masih dua per tiga atau 67 peratus masih utuh, ia akan diganti dengan yang baharu,” kata seorang lagi netizen.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapat sebanyak 3.8 juta tontonan di TikTok.
Sumber: Suara.com