Siakap Keli
ditemui mati 'tertimbun'
Gambar Via Ksatnews/The Sydney Morning Herald

Puluhan Mayat Dipercayai Migran Ditemui ‘Tertimbun’ Dalam Sebuah Treler

Sekurang-kurangnya 46 orang yang dipercayai pendatang dari Mexico ditemui mati ‘tertimbun’ di dalam sebuah treler traktor yang ditinggalkan berhampiran San Antonio, Amerika Syarikat pada Isnin.

Memetik laporan Huff Post, 16 yang lain termasuk empat kanak-kanak telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pihak berkuasa berkata mereka yang terselamat itu disyaki mengalami strok haba dan keletihan haba.

Sementara itu, Ketua Polis San Antonio, Bill McManus pula berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada seorang peniaga berhampiran yang mengatakan bahawa dia telah terdengar jeritan meminta tolong.

Apabila tiba di tempat kejadian, pihaknya telah menemui mayat di luar kenderaan terlebih dahulu sebelum membuka trak tersebut dan melihat ‘timbunan mayat’ di dalamnya.

Menurut New York Times, pihak polis juga kini sedang mengesan pemandu trak terbabit.

Bagaimanapun, tiga orang dilaporkan telah ditahan lewat petang semalam walaupun pihak polis tidak pasti sama ada mereka ada kaitan dengan kejadian itu.

“Masalah pendatang yang mencari perlindungan sentiasa menjadi krisis kemanusiaan tetapi malam ini kita berhadapan dengan tragedi manusia yang mengerikan.

“Kami berharap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kejadian itu akan didakwa sepenuhnya mengikut undang-undang, ” kata Datuk Bandar San Antonio, Ron Nirenberg.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba San Antonio, Charles Hood berkata penghawa dingin di dalam trak itu tidak berfungsi serta tiada air di dalamnya.

Kejadian itu juga berlaku ketika suhu di San Antonio mencecah 100 darjah pada Isnin.

BACA JUGA: Bot Bawa 60 Migran Karam Di Pantai Tripoli

Sumber: Huff Post

Sofea

There's always another side to every story