Siakap Keli
Gambar: Discover Magazine

Cecah Puluhan Juta, Ini 7 Filem Malaysia Dengan Kutipan Tertinggi Dalam Sejarah

Tak dapat dinafikan, filem-filem di tanah air kita kini semakin mendapat tempat di hati pengemar tegar filem. Malah, dengan jalan cerita menarik dan pelakon yang hebat, ada filem Malaysia ini berjaya mencatat kutipan tertinggi ‘box-office’ mencecah puluhan juta ringgit.

Terkini, industri hiburan tanah air dilanda demam filem Mat Kilau yang diperkatakan banyak pihak, terutamanya di media sosial. Apatah lagi, baru lima hari ditayangkan, filem ini sudah berjaya mengutip RM 18 juta.

Bagaimanapun, tahukah anda filem Malaysia manakah yang berjaya mengutip kutipan tertinggi dalam sejarah?

Mengikut senarai yang dikongsikan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), filem-filem yang mendapat kutipan mencecah puluhan juta ringgit datang daripada genre yang berbeza-beza.

Untuk itu, mari sama-sama kita semak filem manakah yang mendahului kutipan tertinggi dalam sejarah setakat ini.

7. POLIS EVO 2- RM 22.45 Juta

Polis Evo 2 (2018) - IMDb
Sumber: IMDb

Menemui penonton pada 2018, filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew ini merupakan filem sekuel kepada Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar yang berjaya mengutip RM 17.74 juta. Bagi Polis Evo 2 pula, filem ini berjaya meraih kutipan sebanyak RM 22.45 juta. Rata-rata penonton filem termasuk juga pengkritik filem telah memberikan ulasan positif terhadap filem tersebut.

Difahamkan, filem ini berjaya meraih kutipan RM 20 juta dalam masa hanya 17 hari tayangan sahaja. Kejayaan meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM 22.45 juta meletakkan Polis Evo 2 di kedudukan ke-7 dalam carta filem Malaysia dengan kutipan tertinggi dalam sejarah setakat ini.

6. UPIN & IPIN : KERIS SIAMANG TUNGGAL- RM 26.20 Juta

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal (2019) - IMDb
Sumber: IMDb

Sebuah filem animasi pengembaraan Malaysia yang paling digemari orang ramai khususnya bagi rakyat dari Malaysia dan Indonesia iaitu Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang berjaya mendapat kutipan sejumlah RM 26.20 juta. Filem animasi yang dihasilkan oleh Les’Copaque Production ini merupakan antara filem Malaysia paling mahal pernah dihasilkan dengan menelan perbelanjaan sebanyak RM 20 juta.

Mereka juga telah membuat pengalihan suara ke dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris untuk tayangan antarabangsa. Bahkan, filem tersebut dikatakan hampir disenaraikan untuk ke Anugerah Oscars bagi kategori Filem Animasi Terbaik pada 2020.

5. PASKAL THE MOVIE- RM 28.98 Juta

Paskal (2018) - IMDb
Sumber: IMDb

Filem Paskal merupakan sebuah filem berkisarkan Pasukan Khas Laut (PASKAL) milik TLDM yang dihasilkan berdasarkan kisah benar. Diterbitkan pada 2018, filem ini berjaya mengutip kutipan sebanyak RM 28.98 juta. Filem tersebut diarahkan oleh Adrian Teh dan diterbitkan oleh Asia Tropical Films, Golden Screen Cinemas, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw.

Menelan kos hampir RM 10 juta untuk dihasilkan, PASKAL berjaya merekodkan kutipan sebanyak RM 2 juta pada hari pembukaan dan kutipan mencecah RM 7.7 juta pada hari kelima tayangan.

4. BOBOIBOY MOVIE 2- RM 29.57 Juta

BoBoiBoy Movie 2 (2019)
Sumber: Google

BoBoiBoy Movie 2 yang berdurasi selama 110 minit merupakan filem animasi komedi adiwira Malaysia arahan Nizam Razak dan diterbitkan pada 2019. Dalam tempoh 70 hari, BoBoiBoy Movie 2 berjaya mencapai kutipan sebanyak RM30 juta di Malaysia, Brunei, Singapura dan Vietnam dengan RM 29.57 juta adalah hasil kutipan dalam negara.

Selain filem, siri ini juga mempunyai versi animasi yang ditayangkan di televisyen dan mempunyai jutaan pengikut tersendiri.

3. EJEN ALI THE MOVIE- RM 30.05 Juta

Ejen Ali: The Movie (2019) - IMDb
Sumber: IMDb

Hanya menelan perbelanjaan sebanyak RM 6.5 juta untuk dihasilkan, Ejen Ali The Movie ini mampu mendapat kutipan berlipat kali ganda apabila meraih sebanyak RM 30.05 Juta. Apa yang lebih mengagumkan ialah apabila difahamkan filem tersebut merupakan filem sulung yang ditayangkan di pawagam yang dihasilkan oleh Studio WAU Animation. Filem ini diarahkan oleh Usamah Zaid Yasin.

Dengan kutipan tersebut, filem ini berjaya menempatkan diri di posisi ketiga filem Malaysia paling tinggi kutipan dalam sejarah setakat ini.

2. HANTU KAK LIMAH- RM 36.23 Juta

Hantu Kak Limah (2018) - IMDb
Sumber: IMDb

Filem Hantu Kak Limah yang membawa tema seram komedi ini pula telah memungut kutipan keseluruhan berjumlah RM 36. 23 juta.

Diarahkan oleh pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid, Hantu Kak Limah menemui penonton di pawagam pada 2018. Ia merupakan filem keempat Allahyarham bersama Tayangan Unggul selepas tiga filem terdahulu.

Filem ini juga dibintangi oleh pelakon-pelakon yang bukan dari calang-calang iaitu Awie, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Delimawati dan Erra Fazira. Selain daripada itu, filem ini merupakan sekuel kepada Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2013) serta filem ketiga dan terakhir dalam siri filem Hantu Kak Limah.

1. MUNAFIK 2- RM 37.74 Juta

Munafik 2 (2018) - IMDb
Sumber: IMDb

Munafik 2 muncul sebagai filem Malaysia dengan kutipan paling tinggi dalam sejarah apabila berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM 37.74 juta. Filem ini diarahkan oleh Syamsul Yusof yang juga merupakan pelakon utama.

Filem ini merupakan kesinambungan daripada filem Munafik yang ditayangkan pada tahun 2016. Pada hari pembukaan rasmi, Munafik 2 meraih kutipan sebanyak RM2.05 juta.

Berdasarkan data yang dikumpul ini, bagaimanakah jangkaan anda mengenai filem Mat Kilau? Adakah filem berkenaan berjaya menewaskan kutipan tiga filem teratas dan muncul sebagai filem dengan kutipan paling tinggi dalam sejarah?

Sama-sama kita nantikan.

BACA: Thailand Benarkan Rakyat Buat Pinjaman Bank Guna Durian

BACA: Johnny Depp Dilapor Bakal ‘Comeback’ Dalam Pirates Of The Caribbean, Perjanjian RM1.3 Bilion Bersama Disney

Sumber: FINAS

Nurul Nazihah