Siakap Keli
Sumber: Google

Boleh Jadikan Matawang Kripto Mas Kahwin & Hukumnya Sah – Pejabat Mufti WP

Kini, mas kahwin atau mahar diberikan dalam pelbagai bentuk dan salah satunya mungkin ada yang berhajat menjadikan mata wang kripto sebagai mas kahwin. Namun, kaedah ini menimbulkan persoalan sama ada ia sah atau tidak kerana ia lari dari cara kebiasaan iaitu sama ada menggunakan wang ringgit sama ada tunai atau cek, sebentuk cincin, emas dan lain-lain lagi.

Sebelum ini, mas kahwin ini perlu dibayar mengikut nilai mas kahwin yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing. Misalnya, negeri Selangor telah menetapkan nilai sebanyak RM300 untuk si lelaki diberikan pada si wanita. Begitu juga, dengan negeri-negeri yang lain.

Bagaimanapun, mungkin isu ini menjadi tanda tanya yang besar buat sesetengah orang apabila mereka mula mengemukakan pertanyaan adakah matawang kripto ini dapat dijadikan sebagai mas kahwin, sah atau sebaliknya.

Untuk menjawab persoalan itu, mari kita ikuti perkongsian yang penuh bermanfaat dibawakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

HUKUM MENJADIKAN MATAWANG KRIPTO SEBAGAI MAS KAHWIN

kittoo 453

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada satu pertanyaan. Adakah boleh kita menggunakan duit Crypto Coins sebagai mas kahwin? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Di Malaysia, Crypto Coins atau disebut sebagai matawang kripto masih belum dianggap sebagai medium pertukaran yang sah sepertimana duit ringgit (RM) kerana Bank Negara Malaysia (BNM) masih belum mengiktirafnya. Walau bagaimanapun, dalam konteks semasa Malaysia wang kripto dianggap sebagai barang komoditi yang boleh diperdagangkan dan dijadikan sebagai aset. Bertitik tolak daripada konsep ini, maka seseorang boleh menjadikan matawang kripto sebagai mas kahwin dan hukumnya sah.

Huraian Jawapan

Mas kahwin atau mahar merupakan suatu pemberian yang wajib pihak suami tunaikan kepada pihak isteri. Dalam istilah fiqh, mahar membawa maksud sesuatu harta yang wajib diserahkan oleh pihak lelaki kepada perempuan kerana berlakunya akad nikah yang menghalalkan perhubungan di antara keduanya.

(Rujuk: Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/109-110)

Seterusnya, tiada had yang tertentu bagi sesebuah mahar sama ada had terendah mahupun had maksimum. Sebaliknya,semua benda yang bernilai dan mempunyai nilai untuk dijual ataupun dijadikan sewaan boleh dijadikan mahar sama ada berbentuk ‘ain (barang tersebut), hutang ataupun manfaat. Begitu juga dari segi kuantiti sedikit atau banyak sama ada sebuah kereta, wang tunai 10000 Dirham ataupun sebuah rumah. Bahkan mahar juga boleh diberikan dalam bentuk mengajarkan sesuatu ilmu seperti ilmu Al-Quran kepada isteri.

(Rujuk: Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/113)

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ أَنْ تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُمْ

Maksudnya: “Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu.”

                                                                                                              Surah al-Nisa’ (24)

Ayat ini hanya menyebut harta (المال) secara umum tanpa menetapkan bentuk atau kadar harta secara spesifik. Begitu juga, panduan Rasulullah SAW melalui hadisnya:

أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya: “Berikanlah kepada perempuan itu walaupun sebentuk cincin besi.”

Riwayat al-Bukhari (4741)

Dalam sebuah hadis Amir bin Rabi’ah RA memperihalkan pendirian sebegini dengan lebih jelas, hadisnya:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ بَنِي فَزَارَةَ تَزَوَّجَتْ عَلَى نَعْلَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ. قَالَتْ نَعَمْ قَالَ فَأَجَازَهُ

Maksudnya: “Seorang perempuan daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mas kahwin sepasang selipar. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu reda mendapat sepasang selipar sebagai mas kahwin?” Perempuan itu menjawab: “Ya!” Lalu Baginda membenarkannya.”

Riwayat al-Tirmizi (1113)

Berkenaan kedudukan wang kripto, kenyataan pertama Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan Bitcoin dikeluarkan pada 2 Januari 2014 di laman web rasmi mereka. Dalam kenyataan ringkas tersebut, BNM menegaskan bahawa Bitcoin tidak diiktiraf sebagai satu mata wang rasmi (legal tender) di Malaysia dan BNM juga tidak mengawal selia operasi Bitcoin lantas orang awam dinasihatkan agar berhati-hati dengan risiko yang muncul daripada penggunaan mata wang digital seumpamanya. 

Namun begitu, walaupun wang kripto masih belum dianggap mata wang yang sah seperti Ringgit Malaysia (RM) dan lain-lain, ia tetap dianggap sebagai suatu barang komoditi yang boleh diperdagangkan dan dijadikan sebagai aset pelaburan. Bertitik tolak daripada konsep ini, maka wang kripto sah dijadikan sebagai salah satu bentuk mahar kerana dianggap sebagai suatu barangan yang bernilai sama seperti barang-barang yang lain.

Wallahu a’lam.

BACA: Diisytihar Bangkrap, Kadar Inflasi Sri Lanka Cecah 54.6 %, Salah Satu Punca Kerana Rasuah

BACA: “Kita La Sedih Bagi Anak Makan Macam Tu”, Wanita Sebak Bagi Anak Makan Telur Setiap Hari Selepas Suami Kemalangan

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Nurul Nazihah