Siakap Keli
ibu harimau bersama empat anak
Gambar: WWF-Malaysia

Kelibat Ibu Harimau Malaya ‘Merayau’ Bersama Empat Anak Dirakam, Beri Sinar Baharu Buat Populasi

Penemuan seekor Harimau Malaya dan empat anaknya memberi sinar baharu buat populasinya selepas kelibat haiwan itu berjaya dirakam oleh kamera perangkap dalam usaha menyelamatkan spesies terancam tersebut.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh World Wildlife Fund (WWF), ia memaparkan seekor harimau berjalan bersama tiga anaknya yang berada di hadapan dan seekor lagi di sebelah kanan, lapor AWANI.

Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim, penemuan kelibat lima beranak Si Belang itu adalah sesuatu yang positif, ditambah pula Hari Harimau Global yang bakal disambut pada bulan ini.

“Dengan populasi harimau yang kini berjumlah kurang daripada 150 ekor di Semenanjung Malaysia, perkembangan terbaharu ini memperbaharui harapan bahawa spesis yang terancam kritikal ini dapat diselamatkan daripada ambang kepupusan.

“Adalah lebih penting untuk kami meneruskan rondaan untuk melindungi anak-anak ini dan ibu mereka daripada ancaman pemburuan haram dan kehilangan habitat sedia ada,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam, merujuk AWANI.

Sementara itu, penampakan anak harimau tersebut menjelaskan bahawa habitat yang sesuai dan makanan sepatutnya yang tersedia membolehkannya untuk membiak, kata Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC), Shah Redza Hussein.

“Kami memerlukan usaha antipemburuan haram berterusan yang lebih kukuh untuk memastikan anak-anak ini selamat daripada pemburu dan boleh bertahan sehingga dewasa.

“Ia memerlukan usaha kolaboratif. Penampakan ini adalah bukti bahawa dengan populasi yang berdaya maju, walaupun kecil, harimau masih boleh hidup semula jika habitat, makanan dan keselamatan mereka terjamin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, pasukan anti-pemburuan haram WWF-Malaysia dan Unit Peronda Orang Asli Menraq PSPC kerap membuat rondaan di kawasan seluas 117,500 hektar di Taman Negeri Royal Belum.

Impaknya, seperi yang dilaporkan AWANI, insiden pemburuan haram menurun sebanyak 98 peratus hasil rondaan yang kerap dijalankan.

Denda lebih ketat akan dikuat kuasa

Selain itu, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 (Akta 716) juga dijangka lebih ketat dan akan berkuatkuasa bermula bulan ini dengan denda daripada RM500,000 kepada nilai maksimum kepada RM1 juta bagi pesalah.

Dalam pada itu, Penubuhan Pasukan Petugas Harimau Kebangsaan yang diketuai oleh Perdana Menteri dan Penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia pula berjaya membanteras dua lagi pemburuan haram.

Sehubungan itu, WWF-Malaysia dengan kerjasama Maybank akan menganjurkan Hari Harimau Global bertemakan ‘Roar For Life Eco-Festival’ yang akan diadakan di Pavillion Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 30 dan 31 Julai ini.

Difahamkan, harimau mampu melahirkan anak antara dua hingga empat ekor anak setiap dua tahun secara purata.

Untuk makluman, haiwan itu boleh kembali bunting hanya dalam tempoh lima bulan namun ia bergantung pada pasangan sihat dan keadaan yang sesuai bagi pembiakan.

Sumber: AWANI

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?