Siakap Keli
Gambar Hiasan via Bernama

Gangguan Bekalan Air Kerap Berlaku, Ketahui Punca Dan Tugas Kita Sebagai Pengguna

Insiden gangguan bekalan air bersih sememangnya boleh membuatkan aktiviti seharian kita tergendala. Kita semua tahu, air bersih amat penting dalam menjalankan pelbagai aktiviti seperti memasak, mencuci pakaian, mandi dan sebagainya. Namun, ada pengguna yang terpaksa menadah air, membeli air botol atau mencari sumber air alternatif seperti air bukit jika gangguan bekalan air bersih berlaku. Perkara seperti ini ternyata boleh mengganggu kehidupan seharian lebih-lebih lagi apabila berlakunya gangguan bekalan air yang melebihi tempoh satu hari.

Gambar: BERNAMA

Tetapi, pernah tak anda terfikir mengapa gangguan bekalan air terjadi? Untuk pengetahuan anda, terdapat dua kategori gangguan bekalan air iaitu gangguan berjadual (berlaku bagi membolehkan operator air melaksanakan obligasi mereka seperti penyenggaraan loji rawatan air (LRA), penggantian peralatan di LRA atau penggantian paip) dan gangguan tidak berjadual (berlaku berikutan daripada pencemaran sumber air, paip pecah, kerosakan peralatan di LRA).

Gangguan bekalan air bersih berjadual

Lazimnya operator air bertanggungjawab untuk melaksanakan penyenggaraan dan penggantian peralatan secara berkala bagi memastikan sistem dan peralatan berfungsi dengan baik. Perkara ini adalah penting bagi memastikan operator dapat membekalkan air bersih secara berterusan kepada pengguna.

Sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan, operator terpaksa menutup LRA dan seterusnya air tidak dapat dibekalkan, justeru berlakunya gangguan bekalan air.

Bagi persiapan awal pengguna, operator akan mengeluarkan notis sebelum berlakunya gangguan untuk memaklumkan jangkaan masa dan tempoh gangguan kepada pengguna yang akan terkesan.

Gangguan bekalan air bersih tidak berjadual

Pencemaran sumber air

Manakala gangguan tidak berjadual berlaku di luar kawalan operator air terutamanya apabila terdapat kes pencemaran sumber air mentah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atau kualiti sumber air yang kian merosot.

Insiden yang berlaku ini akan menyebabkan LRA terpaksa ditutup kerana ianya tidak mampu untuk merawat air yang tercemar atau kualiti air yang merosot. Dalam hal ini, operasi LRA hanya boleh dimulakan semula setelah kualiti air mentah menjadi normal dan tiada lagi sisa pencemaran yang boleh menjejaskan proses rawatan.

Gambar: BERNAMA

Pada kelazimannya, insiden seperti ini akan menyebabkan peningkatan dalam kos yang perlu dibelanjakan oleh operator air untuk merawat air serta membuat pengagihan air melalui lori tangki kepada pengguna yang terkesan. Tempoh gangguan tidak berjadual bergantung kepada tempoh masa yang diperlukan untuk kualiti air mentah menjadi normal dan selamat untuk dirawat serta tempoh masa yang diperlukan oleh operator air untuk merawat dan mengagihkan air semula kepada pengguna.

Kerosakan peralatan dan paip pecah

Gangguan tidak berjadual juga boleh berlaku apabila terdapatnya insiden kerosakan peralatan di loji dan paip pecah yang tidak dijangka. Insiden ini boleh berlaku akibat daripada ketidakupayaan operator untuk melaksanakan penyenggaraan dan penggantian secara berjadual disebabkan oleh kekangan kewangan operator.

Berdasarkan data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2020, terdapat 42,076 km panjang paip jenis Asbestos Cement (AC) di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Bagi mengurangkan insiden paip pecah, operator air perlu membuat penggantian paip jenis AC yang telah lama digunakan dan mudah pecah. Namun, keupayaan operator untuk membuat penggantian paip tersebut adalah sangat bergantung pada keupayaan kewangan mereka dan sesetengah operator tidak dapat melaksanakannya secara progresif disebabkan oleh kekangan kewangan.

Tempoh gangguan tidak berjadual bergantung kepada tempoh masa yang diperlukan oleh operator air untuk membaiki kerosakan peralatan dan menggantikan paip pecah di tapak. Selepas siapnya kerja-kerja tersebut, barulah air dapat dirawat dan dibekalkan semula kepada pengguna.

Apakah langkah penyelesaian?

Sebagai langkah penyelesaian, operator air perlu membuat perancangan yang terperinci bagi perbelanjaan modal (Capex) untuk pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur sistem bekalan air. Antaranya dengan meningkatkan rizab margin LRA serta interconnectivity antara LRA. Melalui pelaksanaan kerja-kerja tersebut, insiden gangguan bekalan air dapat dikurangkan. Ini kerana operator air dapat menyalurkan air terawat daripada LRA lain yang mempunyai kapasiti lebihan dan pada masa sama bersambung dengan LRA yang terjejas.

Pelaksanaan penyenggaraan secara berkala adalah antara kewajipan utama operator air. Ianya bagi memastikan peralatan di loji dan paip berada dalam keadaan yang baik. Ini sekaligus dapat mengurangkan gangguan bekalan air. Namun demikian, kerja-kerja pembangunan, penaiktarafan, pembaikpulihan serta penyenggaraan melibatkan kos yang tinggi yang perlu dibelanjakan oleh operator air.

Oleh itu, operator memerlukan pendapatan mencukupi untuk menampung keperluan Capex dan perbelanjaan operasi (Opex) bagi membekalkan air terawat secara berterusan kepada pengguna. Buat masa ini, operator air berhadapan dengan kekangan untuk melaksanakan Capex yang telah dirancang akibat kedudukan kewangan yang tidak mampan. Justeru, tarif yang munasabah amat penting untuk operator memastikan Capex dapat dilaksanakan seterusnya melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan. 

Apakah peranan pengguna?

Disebabkan air amat penting kepada kita, pengguna perlu melibatkan diri dalam memastikan sumber air terpelihara. Contohnya, melaporkan insiden pencemaran air kepada agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Alam Sekitar, SPAN atau Badan Kawal Selia Sumber Air Negeri.

Gambar: BERNAMA

Selain itu, pengguna juga dinasihatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih berhubung pembekalan air daripada operator air. Sekiranya notis gangguan bekalan air dikeluarkan, pengguna boleh membuat persiapan awal seperti menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan isi rumah.

Melalui penjelasan ini, diharapkan agar pengguna faham mengenai kepentingan tarif yang munasabah terhadap perkhidmatan bekalan air yang diterima daripada operator. Ianya demi kelangsungan bekalan air untuk generasi yang akan datang.

Adib Mohd