Siakap Keli
punca brek lori gagal berfungsi
Kredit: FreeImages & Dreamstime

Ini Tujuh Punca Brek Lori Gagal Berfungsi, Apa Yang Harus Dilakukan?

Akhir-akhir ini tragedi kemalangan melibatkan lori semakin kerap berlaku hari demi hari. Sebagai pemandu lori, pernahkah anda mengalami masalah brek gagal berfungsi ketika sedang memandu? Jika pernah lalui situasi ini, apakah anda sudah kenal pasti punca-puncanya dan jalan penyelesaian bagi masalah ini?

Merujuk Knight Transportation, secara puratanya berat sebuah lori adalah dalam lingkungan 15,876 kilogram (kg) sehingga 36,287 kg. Jisim lori yang berat menyebabkan jumlah tenaga yang besar diperlukan untuk memberhentikannya daripada terus bergerak. Perkara ini menjadikan sistem brek sebagai satu ciri penting terhadap sesuatu lori.

Jika sesebuah lori itu memiliki sistem brek yang tidak berfungsi dengan baik seperti rosak atau haus, perkara ini boleh mendatangkan bahaya kepada semua pengguna jalan raya. Oleh itu, pemandu wajarlah mengambil tahu mengenai masalah brek yang terdapat pada kenderaan mereka supaya perkara  tidak diingini boleh dicegah.

Gambar hiasan | Kredit: @ aleksandarlittlewolf (Freepik)

Apakah jenis brek yang digunakan dalam lori?

Sebelum memandu lori, seseorang pemandu harus mengetahui jenis brek lori itu sendiri. Kebanyakan lori menggunakan sistem brek yang terdiri daripada tiga bahagian. Bahagian ini termasuklah brek udara (air brakes), brek parkir (parking brake) dan brek kecemasan (emergency brake). Sistem keseluruhan brek ini direka secara pintar dan berfungsi dengan baik dalam kebanyakan situasi.

Pertama, brek udara. Ia menggunakan geseran yang digunakan pada pad brek untuk memampatkan udara yang disimpan dalam tangki lori. Udara yang mampat ini digunakan untuk menolak omboh yang akan memberi tekanan pada pad brek.

Kedua, brek parkir. Ia adalah satu lagi elemen dalam sistem yang menghalang pelantar daripada bergolek ketika memarkir kenderaan di tempat-tempat tertentu.

Ketiga, brek kecemasan. Ia memiliki kepentingan yang sama seperti pelantar besar yang terdapat pada belakang lori. Sesetengah lori dilengkapi dengan brek kecemasan yang berfungsi secara automatik, walaupun bahagian brek lain mesti dihidupkan secara manual.

Gambar hiasan | Kredit: Foster Wallace

Tujuh punca brek lori gagal berfungsi

Sementara itu, terdapat beberapa punca brek lori gagal berfungsi yang dikenal pasti menerusi pemerhatian semasa. Merujuk kepada artikel Knight Transportation, berikut di bawah adalah merupakan masalah yang sering berlaku pada brek lori.

Pertama sekali, lori memilik sistem brek yang tidak stabil. Secara umumnya, kasut brek (brakes shoes) didatangkan secara berpasangan. Oleh itu, ia haruslah dipasangkan secara sama rata.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa situasi kasut brek menjadi tidak seimbang disebabkan ia dipasangkan secara tidak tepat dan tidak sama rata. Ini menjadikan salah satu bahagian menjadi lemah dan boleh menjurus kepada masalah brek.

Difahamkan, salah satu tanda brek itu tidak stabil adalah bunyi berdecit atau mengikis yang terhasil, atau brek lori itu sendiri yang menjadi kurang ‘bertindak balas’ daripada kebiasaannya.

Kedua, lori yang dipandu mempunyai muatan yang tidak sempurna Muatan lori yang sempurna adalah sangat penting kerana keadaan yang kurang baik akan mencetuskan pelbagai masalah.

Ketiga, pemandu tidak menyelenggara brek lori dengan baik. Brek dan pelbagai komponen lain yang terdapat pada sesuatu lori perlu diselenggara secara berkala agar jentera berat itu berfungsi dengan baik.  Oleh itu, penyelenggaraan adalah satu ‘kemestian’, terutamanya sistem brek dan sokongan kecemasan.

Gambar hiasan | Kredit: Rosenfeld Injury Lawyers

Keempat, lori mengalami pembrekan secara berlebihan. Merujuk Knight Transportation, secara amnya pemandu tidak mahu membebankan sistem brek mereka secara berlebihan dengan menekan pedal brek ketika tidak perlu, atau menggunakan daya yang berlebihan.

Kelima, brek yang terdapat pada lori sudah haus. Brek haus berlaku apabila pemandu secara tidak sengaja memanaskan dram brek melalui tindakan brek berlebihan atau terlalu mengepam brek.

Brek haus adalah salah satu kelemahan yang terdapat pada sistem brek udara. Masalah ini boleh dielakkan dengan mengaplikasikan brek dalam jangka masa yang pendek, keras dan ‘terputus-putus’, bukannya dengan cara menahan brek dalam jangka masa yang lama.

Keenam, lori mengalami masalah brek terkunci. Perkara ini berlaku jika kasut brek yang terdapat pada lori tersekat.  Tanda-tandanya termasuklah pemecutan menjadi lebih lembab, seolah-olah lori itu menjadi berat. Ini disebabkan kasut brek mengalami masalah untuk ‘membebaskan dirinya’ ketika lori bergerak laju.

Akhir sekali, saluran udara rosak dalam sistem brek.  Brek boleh menjadi rosak apabila bahagian tertentu dalam saluran udara lori mengalami masalah, sama ada tercucuk, retak atau pun pecah. Ini bermakna udara di dalam sistem brek tidak lagi memiliki tekanan yang tepat dan boleh menyebabkan pembrekan yang tidak efektif.

Apakah yang perlu dilakukan jika anda mengalami kegagalan fungsi brek?

Bagi pemandu, tiada perkara yang lebih menakutkan daripada kenderaan yang tidak dapat diberhentikan disebabkan masalah pada brek . Terdapat beberapa cara untuk mengatasi isu ini dan dapat memastikan pemandu dan orang lain selamat di atas jalan raya. Cara-caranya adalah seperti berikut:

Pertama sekali, lakukan downshifting atau bahasa mudahnya, guna gear rendah untuk mengurangkan beban brek serta memudahkan kawalan lori. Seterusnya, gunakan brek kecemasan untuk berhenti. Pam brek jika lori anda menggunakan brek jenis hidraulik. Terakhir, cari dan gunakan laluan kecemasan untuk mengurangkan risiko kemalangan di atas jalan raya.

Sila baca, fahami dan simpan semua maklumat yang dinyatakan di atas untuk memastikan sistem brek lori anda berfungsi dengan baik.

Sumber: Knight Transportation 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma