Siakap Keli
8 tahun genap mh17
Kredit: Astro Awani & Getty Images

17 Julai Hari Ini Genap 8 Tahun, Ini Kronologi Tragedi MH17

Tanggal 17 Julai hari ini menandakan genap sudah lapan tahun sejarah hitam dunia penerbangan negara, ini kronologi Tragedi MH17

17 Julai hari ini merupakan tarikh yang sama apabila negara kita digemparkan dengan salah satu tragedi penerbangan yang paling tidak dapat dilupakan dalam kalangan rakyat Malaysia, iaitu terhempasnya MH17. Hari ini, genap lapan tahun selepas pesawat MH17 ‘menamatkan’ perjalanannya.

Secara ringkasnya, pesawat MH17 merupakan sebuah pesawat komersial  Boeing 777 yang melakukan penerbangan daripada Amsterdam ke Kuala Lumpur. Ketika pesawat itu berada pada ketinggian 30,000 kaki, ia ditembak jatuh dan terhempas di wilayah bergolak berhampiran sempadan Ukraine-Rusia.

Walaupun bagaimanapun, kerajaan Rusia dan Ukraine menafikan pembabitan mereka dalam insiden itu (ketika itu) dan  mencetuskan kecaman antarabangsa kerana mengorbankan kesemua 280 penumpang dan 15 anak kapal pesawat Boeing 777 berkenaan.

Pada hari ini, kita akan menelusuri kronologi tragedi MH17 untuk memperingati salah satu titik hitam dalam sejarah penerbangan di Malaysia.

Kredit : Astro Awani

Kronologi tragedi nahas MH17

Merujuk sumber AWANI, insiden ini bermula pada 17 Julai 2014, ketika MH17 baru sahaja berlepas daripada Lapangan Terbang Amsterdam, pada 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam).

Pada hari yang sama, Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan pihak mereka menerima makluman daripada Trafik Kawalan Udara (ATC) Ukraine pada 10.15 malam (waktu Malaysia). Makluman tersebut mengatakan bahawa ATC Ukraine telah terputus hubungan dengan pesawat MH17 pada 1415 (GMT), di kedudukan 30 kilometer (km)  dari  Tamak, kira-kira 50 km dari sempadan Rusia-Ukraine.

Sejurus selepas itu, berita antarabangsa melaporkan penemuan bangkai pesawat, mayat dan barangan peribadi bertaburan sejauh beberapa kilometer  berhampiran perkampungan Grobovo, Ukraine. Perkampungan ini merupakan wilayah bergolak yang dikuasai pemberontak berhampiran sempadan Rusia.

Keesokan harinya (18 Julai, 2014), Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan satu siasatan segera berhubung tragedi itu. Masyarakat antarabangsa menggesa agar satu siasatan antarabangsa yang komprehensif dan telus dibuat serta meminta pihak-pihak terbabit dalam pergolakan di wilayah itu untuk melaksanakan ‘gencatan senjata segera’.

Setelah pengumuman mengenai siasatan MH17 diumumkan, pasukan siasatan khas Malaysia yang terdiri daripada 131 anggota tiba di Kiev, Ukraine pada 19 Julai 2014.

Namun begitu, pasukan siasatan antarabangsa termasuk dari Malaysia tidak dibenarkan memasuki kawasan nahas tersebut. Pekara ini disebabkan oleh perang saudara yang menyebabkan pertempuran sengit antara tentera Ukraine dan kumpulan pemisah pro-Rusia.

Sementara itu di Malaysia pula, MAS mengeluarkan senarai penuh nama penumpang dan kru yang juga merupakan nama-nama mangsa nahas MH17 tersebut.

Dua hari selepas ketibaan pasukan siasatan khas Malaysia di sana (21 Julai 2014), Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Leftenan Kolonel Mohd Sukri Hussain bersama 12 anggota pasukan perunding Malaysia berjaya memperoleh kotak hitam MH17 dan jasad mangsa.

Kredit: EPA

Pasukan tersebut berjaya berbuat demikian selepas melakukan rundingan selama tiga hari dengan Alexander Borodai, ketua pemisah pro-Rusia di Donestk, Ukraine.

Kotak hitam yang diperolehi itu dihantar ke Belanda seterusnya ke Farnborough, barat daya London untuk pemeriksaan data penerbangan. Manakala jasad mangsa pula diterbangkan ke Eindhoven, Belanda untuk proses Pengecaman Mayat Mangsa Bencana (DVI) dan siasatan jenayah.

Hari seterusnya (23 Julai 2014), Malaysia mengadakan sidang khas Dewan Rakyat dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang disifatkan tidak bertamadun, zalim dan radikal oleh pihak yang dipercayai menembak jatuh pesawat MAS MH17.

Ketika membentangkan usul tragedi pesawat MH17, Najib menzahirkan kekecewaan dan kemarahan Malaysia terhadap pihak yang tidak menghormati lokasi kemalangan sebagai zon larangan dan melewatkan proses siasatan serta persemadian mangsa-mangsa terlibat.

Pada tarikh 1 Ogos 2014, Najib tiba di Amsterdam. Setelah ketibaan beliau di Asterdam, Malaysia dan Belanda menggesa pertempuran dihentikan  segera di kawasan nahas atas faktor hak asasi kemanusiaan.

Kredit: Astro Awani

Beberapa minggu kemudian, Hari Perkabungan Negara diadakan di Malaysia pada 22 Ogos 2014.  pada hari ini, terdapat satu upacara khas diadakan bagi memberi penghormatan kepada 20 mangsa tragedi MH17 apabila jenazah mangsa dibawa pulang ke tanah air.

Kredit: Selangorkini

Selepas dua minggu berlalu dari Hari Perkabungan Negara (9 September 2014), pihak berkuasa Belanda telah mengeluarkan satu laporan siasatan awal nahas. Pihak berkuasa Belanda membuat kesimpulan bahawa pesawat dan anak-anak kapal tidak menghantar apa-apa isyarat kecemasan, serta tidak melaporkan sebarang kegagalan teknikal pesawat.

Dalam masa sama, hasil pemerhatian mendapati kerosakan yang terdapat pada bangkai pesawat dilapor memiliki kesan tembusan objek bertenaga tinggi yang menembusi pesawat dari luar.

Beberapa bulan kemudian, Malaysia diterima sebagai salah satu anggota penuh Pasukan Siasatan Bersama MH17 yang berfokus kepada siasatan jenayah susulan penembakan pesawat itu pada 1 Disember 2014. Penyiasat memulakan siasatan dengan melakukan tandaan dan pemasangan semula bahagian pesawat yang diangkut dari Ukraine.

Kredit: AFP

Kebanyakan pihak masih mahu menegakkan keadilan untuk nahas tersebut dengan pengeluaran draf resolusi Majlis Keselamatan terbaharu mengenai keadaan di Ukraine, yang mana mengulangi semula desakannya bagi pihak yang menembak pesawat Penerbangan MH17 untuk tampil bertanggungjawab pada 18 Feb 2015.

Pada 19 Mei 2015, pasukan penyiasatan antarabangsa Lembaga Keselamatan Belanda memberi fokus terhadap analisis berhubung kesahihan fakta yang dibekalkan media disebabkan kelengahan dalam penyiasatan nahas pesawat MH17.

Setelah lama menanti, Malaysia akhirnya menerima laporan hasil siasatan terhadap nahas udara pesawat MH17 daripada pihak berkuasa Belanda ada 10 Julai 2015. Sebelum memberikan maklum balas kepada pihak berkuasa Belanda, kerajaan Malaysia memerlukan masa kira-kira 60 hari bagi meneliti laporan itu secara menyeluruh dan terperinci.

Pada keesokan harinya (11 Julai 2015), Malaysia mengadakan satu majlis untuk memperingati ulang tahun pertama tragedi pesawat MH17.

Kredit: AFP

Beberapa hari selepas majlis tersebut (14 Julai 2015), Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa supaya menubuhkan tribunal jenayah bagi mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke atas tragedi yang telah mengorbankan 298 nyawa itu.

Kredit: EPA-EFE

Demikianlah kronologi bagi tragedi hitam MH17. Tragedi ini telah memberikan impak yang besar kepada ahli keluarga mangsa dan semua rakyat Malaysia yang masih lagi merasakan kehibaan, kerana ia adalah salah satu kehilangan terbesar dalam dunia penerbangan Malaysia.

Ingatan dan doa kami sentiasa mengiringi ahli keluarga, rakan-rakan penumpang dan anak kapal MH17. Salam takziah.

Sumber: Astro Awani

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma