Siakap Keli
Gambar: WHO, Bernama

Pantas Merebak Ke Seluruh Dunia, WHO Isytihar ‘Monkeypox’ Sebagai Darurat Kesihatan Global

Pantas Merebak Ke Seluruh Dunia, WHO Isytihar ‘Monkeypox’ Sebagai Darurat Kesihatan Global

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan cacar monyet sebagai darurat kesihatan global berikutan lonjakan kes di beberapa negara.

Memetik laporan The Guardian, ia merupakan pengisytiharan ketujuh yang pernah dibuat oleh pertubuhan itu sejak tahun 2009 termasuk bagi pandemik COVID-19 dua tahun lalu.

Darurat itu ditakrifkan oleh peraturan kesihatan antarabangsa WHO sebagai ‘peristiwa luar biasa yang ditentukan untuk membentuk risiko kesihatan awam kepada negara lain melalui penyebaran penyakit antarabangsa dan berkemungkinan memerlukan tindak balas antarabangsa yang diselaraskan’.

Sementara itu, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata istilah itu memberi bayangan bahawa keadaan pada ketika ini adalah serius, tidak dijangka dan luar biasa.

Ia juga membawa implikasi untuk kesihatan awam di luar sempadan negara dan mungkin memerlukan perhatian antarabangsa dengan segera.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata bahawa jawatankuasa itu bermesyuarat pada Khamis untuk menyemak data terkini tetapi mereka tidak dapat mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun, dia memecahkan kebuntuan tersebut dengan mengisytiharkan darurat.

“Secara ringkasnya, kita kini mempunyai wabak yang telah merebak ke seluruh dunia dengan pantas melalui cara penularan baharu yang kita masih belum faham sepenuhnya.

“Disebabkan itu saya telah memutuskan bahawa cacar monyet sebagai darurat kesihatan global,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun risiko cacar monyet adalah sederhana di seluruh dunia tetapi ia adalah tinggi di Eropah dan terdapat risiko jelas penyebaran antarabangsa yang selanjutnya.

Setakat ini sebanyak 16,016 kes cacar monyet dilaporkan di dunia dan 4,132 kes darinya direkodkan beberapa minggu yang lalu.

Ia kini merebak hingga ke 75 negara dan wilayah serta merekodkan sebanyak lima kematian.

Menerusi data yang dikeluarkan oleh WHO, wilayah di Eropah kini mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 11,865 kes.

BACA: Pesakit Cacar Monyet Lari Dari Thailand Dijumpai Di Kemboja

Sumber: The Guardian

Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%

Sofea

There's always another side to every story