Siakap Keli
MAHA2018

​​Dah 4 Tahun Tak Muncul, MAHA 2022 Kembali Bagai Syurga Makanan, Menyesal Kalau Tak Pergi

Selepas ditangguhkan selama 4 tahun atas beberapa faktor termasuklah pandemik yang melanda dunia sebelum ini, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) bakal kembali tahun ini.

Kali terakhir diadakan pada 2018, MAHA 2022 menjanjikan penganjuran yang lebih meriah berbanding sebelumnya dengan lebih 1,500 booth pameran dan jualan menanti para pengunjung. Bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan, MAHA kali ini akan berlangsung selama 11 hari iaitu dari 4 sehingga 14 Ogos ini.

Dengan tapak MAEPS seluas 125 hektar, pengunjung berpeluang meneroka ‘syurga makanan’ yang menghidangkan pelbagai juadah daripada serata negeri. Daripada asam pedas Melaka, laksa telur sarang Perak, nasi kerabu Kelantan, bihun belacan Sarawak, nasi dagang Terengganu, patin tempoyak Pahang serta pelbagai lagi kuih muih dan makanan tradisi setiap negeri menanti anda. Masa inilah anda boleh puaskan ‘craving’ tanpa perlu ‘travel’ dari negeri ke negeri.

Penat berjalan? Jangan risau, ada khidmat tram bersedia untuk membawa anda ke zon yang ingin dilawati.

Bukan itu sahaja, bagi pencinta tanaman, anda juga boleh menjamu mata di Miracle Garden atau laman Agrofood Florikultur yang mempamerkan keindahan landskap berkonsepkan bunga-bungaan unik serta tumbuhan yang boleh dimakan melalui pertanian pintar. Bolehlah anda belajar berkebun sendiri di rumah.

Selain itu, enam lagi laman agro yang menanti anda ialah laman Agrofood Perikanan, Agrofood Padi, Sayuran & Herba, Agrofood Nanas, Agrofood Ternakan dan Laman Mekanisasi. Anda juga boleh membeli produk pertanian dan ternakan segar seperti sayuran, ikan dan udang galah. Boleh tengok hidup-hidup lagi tau.

(Kredit: Master Gardener Putrajaya)
(Kredit: Master Gardener Putrajaya)
(Kredit: Master Gardener Putrajaya)
(Kredit: Master Gardener Putrajaya)

Padat dengan pelbagai aktiviti menarik setiap hari

MAHA 2022 menyediakan pelbagai aktiviti menarik harian yang berbeza buat para pengunjung setiap hari. Bukan setakat makanan, MAHA 2022 juga akan memberi pengalaman baru buat anak-anak anda dengan pelbagai aktiviti serta permainan tradisi menanti mereka.

Antaranya ialah pencarian Harta Karun Ikan, congkak, batu seremban, warna kain batik, anyaman padi dan banyak lagi. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan mewariskan permainan tradisi kepada anak-anak, kan?

Anda boleh lihat jadual program di sini untuk merancang aktiviti dan hari yang sesuai dengan minat keluarga anda.

MAHA 2022, terbesar dan berprestij

Diadakan secara dwitahunan, MAHA merupakan sebuah pameran pertanian yang terbesar di Malaysia dan berprestij tinggi dimana ia menampilkan pelbagai produk baharu industri pertanian yang bersandarkan kepada inovasi terkini daripada teknologi yang dibangunkan oleh bakat tempatan dan juga yang dibawa masuk daripada luar.

MAHA juga menjadi medan untuk semua peserta sama ada daripada agensi kerajaan yang berkaitan atau pemain industri pertanian sendiri untuk mempamerkan strategi-strategi pemasaran dan pengeluaran secara efektif serta pendekatan-pendekatan lain yang mampu merancakkan lagi industri ini.

Bagi penganjuran edisi 2022 pula, MAHA kali ini memberikan fokus kepada tujuh komponen melibatkan pelbagai aktiviti yang boleh disertai pengunjung iaitu:

1. Agro Trade

Melibatkan aktiviti perniagaan dan padanan perniagaan serta mempromosi produk tempatan dan antarabangsa.

2. Agro Edutainment

Mempromosi serta memberi kesedaran tentang kepentingan sektor agromakanan dalam menjamin sumber bekalan makanan negara.

3. Agro Lifestyle

Mempamerkan gaya hidup keluarga agro serta aktiviti-aktiviti nilai tambah di sepanjang nilai rantaian agromakanan.

4. Agro Youth

Aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan untuk golongan muda untuk menggalakan dan mendorong usahawan tani muda sebagai pelapis dan jaminan masa depan pertanian negara.

5. Agro Tourism

Anda boleh dapatkan pelbagai pakej percutian dan aktiviti menarik daripada lebih 100 pusat agropelancongan di Malaysia.

6. Agro Tech

Pameran penggunaan teknologi dan jentera terkini dalam sektor pertanian.

7. Agro Job Fair

Segmen yang dijangka mendapat tumpuan utama pengunjung MAHA yang akan mempromosikan potensi serta peluang pekerjaan yang tersedia dalam sektor pertanian.

Masuk percuma, operasi hingga 10 malam

Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, penganjuran MAHA 2022 berlangsung bermula daripada 4 Ogos sehingga 14 Ogos ini padat dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai oleh para pengunjung.

Lebih menarik, anda tidak dikenakan sebarang bayaran dan masuk adalah PERCUMA. MAHA 2022 beroperasi bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari.

Antara aktiviti-aktiviti menarik yang boleh disertai seperti menikmati pelbagai hidangan yang enak-enak di Food Empire, menjamah buah-buahan tempatan di Fruit Castle, pameran kebudayaan pelbagai negeri di State Pavilion dan juga boleh menyertai permainan tradisional.

Anda juga boleh bawa anak-anak anda hadir, terutamanya di hari minggu memandangkan pelbagai aktiviti khas untuk kanak-kanak selain aktiviti keluarga seperti yang tertera dalam jadual program juga disediakan.

Anda boleh menyemak jadual penuh aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang 11 hari MAHA 2022 berlangsung melibatkan 1,500 ruang pameran disini https://mahaexpo.my/programme/.

Bagi yang tak pernah menghadiri mana-mana penganjuran MAHA sebelum ini, kami kongsikan dengan anda beberapa keping foto kemeriahan Expo MAHA edisi lepas.

Dibawah ini pula adalah ‘pesta’ dan kemeriahan gerai-gerai makanan yang ada dalam MAHA 2018.

Jadi, jangan lepaskan peluang anda untuk mengunjungI MAHA 2022 ini, memang rugi terlepas sebab pameran ini sudah pun tertangguh selama 4 tahun. Malah, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sendiri turut turun padang dalam sesi flag off yang diadakan pada 31 Julai lalu untuk menghebahkan penganjuran acara kali ini kepada orang ramai.

Dengan skala penganjuran yang lebih besar dan kali pertama diadakan selepas pandemik, dijangka seramai 100,000 pengunjung akan membanjiri MAHA 2022 setiap hari.

Anda juga boleh mengikuti MAHA 2022 secara virtual yang akan disiarkan secara langsung melalui pautan ini.

Ayuh, sertai pameran pertanian terbesar dan berprestij tinggi di Malaysia, MAHA 2022 bermula 4 hingga 14 Ogos ini di MAEPS, Serdang. Untuk maklumat lanjut, kunjungi laman web dan facebook MAHA.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.