Siakap Keli
Shaharon Anuar Bersara Selepas 38 Tahun Berkhidmat
Gambar: Shaharon Anuar Own

Terkenal Menerusi Gerak Khas, Shaharon Anuar Bersara Lepas 38 Tahun Berkhidmat Sebagai Polis

Terkenal Menerusi Gerak Khas, Shaharon Anuar Bersara Lepas 38 Tahun Berkhidmat Sebagai Polis

Bila sebut mengenai Gerak Khas, rata-rata rakyat Malaysia pasti akan mengenali setiap karakter di dalam drama aksi kepolisan tersebut.

Sejak ditayangkan pada tahun 1999, Gerak Khas menjadi siri drama televisyen paling lama bersiaran di negara ini.

Salah seorang pelakon drama itu yang dikenali ramai adalah Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif yang membawa wataknya dengan sangat cemerlang.

Mungkin ada yang belum tahu, Datuk Shaharon, 60, sebenarnya merupakan seorang anggota polis. Justeru, tidak hairanlah jika lakonannya di dalam drama itu kelihatan bersahaja dan ‘menjadi’.

Bagaimanapun, beliau baru-baru ini dikhabarkan telah bersara selepas 38 tahun berkhidmat sebagai anggota polis.

Menerusi kiriman di Facebook Friends of PDRM, beliau dipercayai telah bersara pada 1 Ogos lalu.

“Selamat bersara diucapkan kepada Datuk Shaharon Anuar. 1 Ogos 2022 tarikh keramat persaraan, menamatkan perkhidmatan hampir 38 tahun dalam berseragam biru,” kata kiriman itu.

Ketika dihubungi SK, Datuk Shaharon berkata selama bertugas sebagai anggota polis, kenangan paling manis yang  tidak boleh dilupa adalah ketika dinaikkan pangkat.

“Bila dapat itulah saat paling seronok. Saya bersyukur apa yang saya ada, boleh kata saya dapat semuanya, yang Allah SWT bagi semuanya cukup,” katanya.

Beliau mula bergiat di dalam bidang lakonan apabila ditawarkan menjadi model iklan pada tahun 1989 sebelum tampil pertama kali dalam filem terbitan Skop Production Sdn Bhd menerusi Pemburu Bayang.

Mengimbas kembali mengenai jadual lakonan dan kerjaya hakikinya, beliau berkata pihak Skop Production sentiasa memahami dan mempermudahkan jadualnya.

“Pihak Skop Production sangat memahami saya, mereka akan kumpulkan semua babak-babak saya dan akan lakukan penggambaran pada hari Sabtu dan Ahad,” katanya.

Gambar: Shaharon Anuar Own

Menurutnya lagi, jika diberi peluang untuk berlakon selepas ini, beliau terbuka untuk menerimanya.

“Jika diberi peluang untuk berlakon selepas ini, mungkin boleh bebas untuk bawa watak berlainan.

“Mungkin selepas ini saya boleh bebas sikit untuk bawa apa saja watak, sebelum ini saya hanya membawa watak polis kerana perlu menjaga imej polis,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga merancang untuk melakukan kerja amal dan kemasyarakatan, menceburi dunia korporat dan mungkin membuka syarikat produksi sendiri.

Sumber: Shaharon Anuar Own, Friends of PDRM

Sofea

There's always another side to every story