Siakap Keli
rempuh pagar kediaman bekas kekasih
Gambar: Kosmo

Wanita Nekad Rempuh Pagar Kediaman Bekas Kekasih Gara-Gara Putus Cinta

Wanita Nekad Rempuh Pagar Kediaman Bekas Kekasih Gara-Gara Putus Cinta

JOHOR BAHRU – Seorang wanita nekad merempuh pintu pagar kediaman keluarga bekas teman lelakinya gara-gara putus cinta dalam kejadian di Taman Perling, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Fariz Ammar Abdullah memberitahu, kejadian itu dilaporkan telah berlaku pada pukul 5 pagi.

“Suspek, merupakan wanita berusia 20 tahun berjaya ditahan polis di Plaza Tol Lima Kedai, Gelang Patang tidak lama kemudian,” ujarnya.

Memetik akhbar Kosmo, suspek telah ditahan pada pukul 6.30 pagi, hari yang sama.

“Kakak kepada bekas teman lelaki suspek memaklumkan telah menerima satu mesej ugutan daripada suspek yang mahu membakar kedai perniagaan motosikal milik keluarga mereka.

“Turut dikirimkan satu video yang memaparkan seseorang sedang mencurah minyak petrol di hadapan kedai berkenaan, bimbang dengan ugutan terbabit menyebabkan pengadu membuat laporan polis,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, sepasukan anggota polis dikerahkan ke kediaman pengadu dan mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Corolla Altis telah merempuh pintu pagar kediaman pengadu.

“Anggota polis berkenaan terus mengekori kenderaan suspek sebelum berjaya memberkasnya di Plaza Tol Lima Kedai, Gelang Patah,” tambahnya.

Berdasarkan ujian sariangan air kencing, suspek didapati positif dadah jenis ‘benzo’ namun tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

Siasatan awal mendapati suspek baharu putus cinta dengan teman lelakinya pada bulan lalu.

Ekoran itu, suspek bertindak merempuh pintu pagar kediaman keluarga pengadu.

Keluarga pengadu dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas pintu pagar tersebut tercabut lalu menghempap belakang kenderaan milik bapa pengadu.

Sumber: Kosmo!

Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”

Nurfatihah Shahirah Azzuddin