Siakap Keli
Gambar : BERNAMA

Berang Tak Nak Tolong Pinjam Duit Saudara, Lelaki Tergamak Pukul & Pijak Kepala Anak

Berang Tak Nak Tolong Pinjam Duit Saudara, Lelaki Tergamak Pukul & Pijak Kepala Anak

AMPANG, 18 Ogos – Seorang bapa ditahan selepas dilaporkan memijak kepala anak perempuannya yang berusia 16 tahun kerana enggan mendengar arahannya untuk meminjam wang daripada saudara mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum kejadian, suspek telah bertengkar dengan isterinya di rumah mereka di Pangsapuri Sagaria, Taman Saga.

“Suspek telah menyuruh ibu mangsa meminta duit dari ahli keluarga lain namun dia enggan menyebabkan suspek marah dan menarik rambut isterinya.

“Kemudiannya, suspek telah meminta mangsa menemani ibunya namun mangsa enggan menemani ibunya ke rumah ahli keluarga lain untuk meminta wang menyebabkan suspek berang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah Mohamad Farouk lagi, akibat berang, suspek mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mangsa dan bertindak memukul, menampar serta memijak kepala anaknya dalam kejadian sekitar 7.55 malam di rumah mereka.

“Pada Khamis, kira-kira jam 4 pagi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ampang Jaya telah membuat serbuan di tepi Jalan Saga 6A, Taman Saga dan menangkap suspek yang disyaki terlibat kejadian itu,” katanya.

Semakan mendapati bahawa suspek mempunyai tiga rekod lampau yang melibatkan kesalahan jenayah dan narkotik.

“Mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan motif kejadian dipercayai akibat salah faham berkenaan masalah kewangan,” katanya.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang merujuk kepada sengaja menyebabkan kecederaan,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”

Anis Annisa