Bagaimana Irama Lagu Negaraku Dicipta & Boleh Sama Dengan Negeri Perak, Ini Penjelasannya
Negaraku
Tanah Tumpahnya darahku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta
Itu merupakan bait-bait lirik lagu kebangsaan negara kita yang sentiasa akan menjadi siulan di perhimpunan rasmi kerajaan, syarikat, universiti, sekolah atau ketika pembukaan acara penting termasuk di peringkat antarabangsa.
Sebagai rakyat Malaysia, kita diseru untuk menghormati lagu kebangsaan dan sentiasa berdiri tegak ketika ia dimainkan.

Sama seperti di negara-negara lain, lagu kebangsaan dicipta untuk membangkitkan semangat patriotik dan cintakan tanah air.
Bagaimanapun, pasti masih ada lagi yang belum tahu mengenai sejarah penciptaan lagu Negaraku terutama generasi baharu pada ketika ini.
Sempena Hari Kemerdekaan yang akan kunjung tiba tidak lama lagi, mari kita ‘mengkaji’ sedikit sebanyak mengenai sejarah lagu tersebut.
Dipetik daripada irama lagu negeri Perak
Untuk pengetahuan, irama lagu Negaraku telah dipetik daripada irama lagu negeri Perak dan lagu negeri Perak pula mendapat ilham asal daripada lagu “Terang bulan” yag merupakan lagu kesukaan Sultan Perak, Sultan Abdullah ketika baginda dalam buangan di Pulau Seychelles.
Dicipta pada tahun 1957, pemilihan lagu Negaraku ini telah dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Idea untuk mencipta lagu tersebut mula timbul ketika negara sedang bersiap untuk menyambut kemerdekaan. Ketika itu, satu pertandingan mencipta lagu rasmi telah diadakan pada bulan Februari 1957 sebagai persiapan untuk diperdengarkan pada upacara pengisytiharan kemerdekaan yang ditetapkan pada 31 Ogos 1957.

Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan
Bagaimanapun, empat lagu akhir yang telah disenarai pendek telah ditolak oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan (JKPLK) yang diketuai sendiri oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Beliau sebaliknya telah mengesyorkan lagu Negeri Perak sebagai asas bagi mencipta lagu kebangsaan Malaysia dan ia dipersetujui oleh ahli JKPLK yang lain.

Bagi skor lagu tersebut, ia telah disediakan oleh Pemimpin Orkestra Radio Malaya, Alfonso Soliano, Pengarah Muzik Pancaragam Polis Diraja, D.S.P Croff, Pengarah Muzik Pancaragam Askar Melayu Port Dickson, Kapten Lenthall dan Ketua Pengarah Radio Malays, A.T Reed.
Manakala, seni kata Lagu Kebangsaan Negaraku telah disediakan oleh satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan persetujuan Sultan-Sultan Tanah Melayu.
Diperdengarkan buat pertama kali pada 31 Ogos 1957
Hasilnya, Lagu Negaraku diperdengarkan buat julung kalinya selepas detik 12 malam di ambang 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor. Pada malam bersejarah tersebut juga, bendera Union Jack telah diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu dan diiringi dengan Lagu Negaraku.
Sejak dari detik itu, Negaraku yang menekankan taat setia dan perpaduan rakyat terus kekal menjadi lagu rasmi negara sehingga kini.
BACA: Bukan Sekadar Nama, Ini Maksud Sebenar ‘Jalur’ & ‘Gemilang’ Nama Bendera Malaysia
Sumber: MyGovernment, Bernama