Siakap Keli

Ini Cara Nak Mohon “Home Schooling” Untuk Anak-anak Ada Masalah Kesihatan Kronik

Ini Cara Nak Mohon “Home Schooling” Daripada KPM Untuk Anak-anak Ada Masalah Kesihatan Kronik

Pendidikan merupakan teras utama dalam pembangunan negara dan bangsa. Tanpa pendidikan, kita semua berpontesi untuk ketinggalan dalan banyak perkara, khususnya kemajuan dunia. Begitupun, perlu difahami bahawa dalam situasi tertentu, menuntut ilmu boleh menjadi perkara yang sangat sukar, buat kelompok tertentu, misalnya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik.

Untuk memastikan kumpulan minoriti ini tidak ketinggalan, ramai yang terlepas pandang bahawa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan satu inisitif pembelajaran berkonsepkan Home Schooling. Inisiatif ini sebenarnya sudah dilancarkan sejak 2003 lagi dan berkuatkuasa pada tahun yang sama.

Memandangkan ramai yang terlepas pandang mengenai inisiatif ini, selamat juga untuk dikatakan ramai ibu bapa, sesungguhnya, tidak tahu pun cara untuk memohon pengecualian bagi anak-anak mereka yang berdepan masalah kesihatan kronik daripada mengikuti pendidikan wajib di peringkat rendah dan menjalani pendidikan di rumah.

Jadi, kali ini kami mahu berkongsi dengan anda beberapa perkara mengenai inisiatif ini dan bagaimana anda mahu memohon.

Sebelum itu, perlu diingatkan bahawa inisiatif ini hanyalah satu keistimewaan, bukannya hak kepada sesiapa.

Tujuannya adalah…

Menurut KPM, persekolahan di rumah bertujuan untuk membuka peluang kepada kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan yang kronik dan memerlukan penjagaan yang rapi oleh ibu bapa supaya mereka juga peroleh pendidikan formal meskipun hanya di rumah.

Selain itu, inisiatif ini juga bertujuan memastikan semua kanak-kanak di Malaysia memperoleh pendidikan wajib seperti termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 dan tidak berlaku sebarang keciciran.

Dalam waktu yang sama dapat mendidik para ibu bapa supaya menjalankan tanggungjawab mereka untuk pastikan anak mereka bersekolah sepanjang tempoh pendidikan wajib. 

Dimana nak mohon?

Ibu bapa yang berhajat hendak membuat permohonan boleh berbuat demikian melalui Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara menggunakan borang yang disediakan.

Syarat-syarat permohonan

Ada sembilan syarat permohonan am yang perlu dipenuhi iaitu, PERTAMA, pemohon hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia; KEDUA, pemohon mestilah memiliki kelulusan ikhtisas perguruan; KETIGA, salah seorang ibu bapa mestilah berkesanggupan untuk menjadi pengajar kepada kanak-kanak tersebut secara sepenuh masa di rumah.

KEEMPAT, kurikulum kebangsaan wajib digunakan; KELIMA, berkemampuan untuk menyediakan prasrana pendidikan yang kondusif dan sempurna untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran; KEENAM, lawatan ke rumah pemohon akan dilakukan oleh pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk tujuan memastikan kesesuaian prasarana Home Schooling.

Seterusnya yang KETUJUH, pemohon hendaklah membenarkan Pegawai daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah untuk melawat rumah pada bila-bila masa hari persekolahan bagi tujuan pemantauan proses pengajaran & pembelajaran dan syarat KELAPAN, kanak-kanak yang diberi kelulusan Home Schooling tidak dibenarkan sama sekali untuk menghadiri sama ada secara tuisyen harian swasta atau kerajaan.

Manakala syarat KESEMBILAN adalah, sekiranya didapati pemohon melanggar syarat-syarat yang terkandung dalam kelulusan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, maka kelulusan tersebut adalah dibatalkan. Kanak-kanak tersebut hendaklah didaftarkan semula ke sekolah dengan segera.

Secara umumnya, itu adalah syarat-syarat am yang perlu pemohon penuhi dan persetujui sebelum permohonan diluluskan.

Diharapkan dengan perkongsian ini, ia dapat melegakan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berdepan masalah kesihatan kronik dan tidak dapat mengikuti persekolahan seperti biasa.

Melalui inisiatif Home Schooling ini, moga-moga tiada lagi anak-anak yang tersisih daripada mendapat pendidikan wajib di peringkat rendah.

BACA: Najib Kekal Jalani Hukuman Di Penjara Kajang – Pegawai Khas

Sumber: KPM

Faiz Mustafa