Siakap Keli
pak lah demensia khairy
Kredit: Tangkap Layar Tiktok Fedtri Yahya

Disahkan Hidap Demensia, Video Pak Lah Dibawa Berjalan Buat Ramai Sebak

Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, 82, yang didakwa menghidapi demensia.

Hari ini pengacara terkenal, Ahmad Fedtri Yahya berkongsi video di laman Facebook mengenai Abdullah atau lebih mesra dikenali Pak Lah dibawa jalan bersama isterinya di sebuah taman.

Hantaran itu ditemani dengan kapsyen berbentuk sajak yang pernah ditulis oleh Pak Lah sendiri dan mengakhirinya dengan memanjatkan doa agar kesihatan sosok itu kembali seperti biasa.

Berikut di bawah ialah sajak Pak Lah yang dikongsikan semula oleh Fedtri:

Semoga kesembuhan dan damai kembali ke jasad dan sanubari Pak Lah.

Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah nabi
Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman
Dialah wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti
Menikmati damai abadi

– Ku Cari Damai Abadi ialah sebuah sajak yang ditulis oleh Perdana Menteri Malaysia kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Meninjau di ruangan komentar, rata-rata warganet berasa begitu tersentuh dan terharu melihat gelagat Pak Lah yang diiringi isterinya semasa berjalan.

Orang ramai turut mendoakan agar Pak Lah diberikan kesembuhan seperti sedia kala serta pulih dengan kuat ingatan semula.

“Syukurlah masih ada insan insan yang menyayangi dihujung usia nii . Alhamdulillah mantan PM yg sentiasa cool , moga dipayungi rahmat Allah berpanjangan,” kata Jamaliah Murad.

“Antara tokoh politik Malaysia yang bersih dari cela baik semasa atau selepas zaman memerintah. Allahu akbar,” kata Riduan Basri.

“Islam Hadari, Cemerlang Gemilang & Terbilang zaman kami mula meningkat remaja.. Moga Pak Lah terus diberi kesihatan yang baik dipermudahkan segala urusannya.. Aminn,” kata Sharatul Ismail.

Terapi tanpa ubat

Sementara itu di ruangan komentar, Fedtri juga turut berkongsi tentang terapi tanpa ubat yang merujuk kepada situasi Pak Lah.

Khairy ‘buka cerita’ kenapa Pak Lah ‘menghilang’ selama ini

Keratan laporan terdahulu

Kelmarin, Awani melaporkan spekulasi ramai mengenai Pak Lah yang sudah lama ‘menghilang’ akhirnya terjawab apabila beliau disahkan menghidap demensia.

Perkara itu disahkan menantunya, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Kesihatan dalam menjawab tentang keadaan terkini Pak Lah.

“Mungkin ramai antara anda tertanya-tanya, di mana PM kelima (Pak Lah). Ya, beliau telah bersara (sejak 2009) dengan terhormat dan tidak akan menimbulkan masalah untuk penggantinya.

“Beliau mempunyai demensia. Itulah sebabnya beliau tidak kelihatan lagi di mana-mana,” katanya dalam satu kenyataan seperti yang dilapor Awani kelmarin.

Tambah Khairy, keadaan yang dialami ayah mertuanya itu bagaikan ‘tubuh ada tapi minda tiada’ ekoran daya ingatannya sudah merosot.

“Demensia itu satu situasi yang sangat kejam, kerana tubuhnya ada, mindanya tiada.

“Saya lihat bapa mertua saya merosot ke tahap beliau tidak lagi berfungsi secara normal. Beliau tidak ingat nama saya, tidak ingat nama isteri saya,” tambahnya ketika itu.

Sehubungan itu, Khairy berkata pihak keluarganya bersedia mendedahkan hal sebenar susulan ramai yang tidak mengetahui keadaan semasa bapa mertuanya selama ini.

Jelasnya, walaupun beliau sekeluarga dapat memberikan sokongan professional kepada Pak Lah namun tidak ramai berpeluang untuk berbuat demikian pada keluarga mereka.

“Bagaimanapun, ramai lagi yang tidak mampu berbuat demikian.

“Justeru, penting bagi kami untuk melabur dalam penjagaan sosial bagi menyokong keluarga yang mempunyai orang tersayang memerlukan penjagaan berterusan,” ujar Khairy dalam kenyataan itu lagi.

Difahamkan, Khairy berkata demikian dalam mengulas mengenai kepentingan sokongan perubatan demensia semasa pelancaran Konferens Perubatan Psikologi Malaysia 2022 ketika itu.

Sumber: Facebook Fedtri Yahya

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana