Siakap Keli
Kemalangan Pertama Di Lebuhraya SUKE
Gambar: Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Lebuhraya SUKE Rekod Kemalangan Pertama

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) — Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) merekodkan kemalangan pertama membabitkan seorang penunggang motosikal dan sebuah kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki cedera di kaki selepas melanggar bahagian belakang Perodua Myvi yang berhenti bagi mengambil gambar di lebuh raya itu yang baharu dibuka Jumaat lepas.

“Dalam kejadian pada 2.45 petang itu, siasatan awal mendapati kereta berkenaan berhenti di lorong kecemasan dari arah Tol Bukit Teratai menghala ibu negara untuk melihat pemandangan dan mengambil gambar sebelum kenderaannya dirempuh mangsa dari arah belakang.

“Ini kes kemalangan pertama dilaporkan di lebuh raya berkenaan. Mangsa dibawa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan dan berlaku kerosakan kepada kedua-dua kenderaan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Kaedah 16 LN 166/59 dalam Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan dengan individu cuai dan boleh dikompaun sehingga RM300.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak berhenti di lorong kecemasan tanpa sebarang keperluan kerana ia boleh mengundang padah kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Sumber: Bernama

BACA: “Baju Diconteng, Buku Dikoyak & Dibuang, Tapi Akhirnya Aku Yang Dimarahi Guru, Siap Kena Pulau Dengan Kawan-kawan”

BACA JUGA: Gempar, Pengguna “Highway” LPT 2 Dakwa Ternampak Kelibat Harimau Tepi Jalan

Muhd Iqbal

" "